Menteri Kewangan Indonesia hanya diberi notis sejam sebelum diganti

Iklan
Sri Mulyani. Agensi

JAKARTA– Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati yang dihormati pasaran kewangan kerana pendekatan fiskal berhemat, dilaporkan hanya menerima notis sejam sebelum digugurkan daripada jawatan pada Isnin.

Reuters yang memetik sumber yang rapat, Sri Mulyani sedang mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kanan kementeriannya selepas jam 2.30 petang waktu tempatan apabila beliau menerima panggilan daripada pejabat Presiden Prabowo Subianto yang memaklumkan beliau akan digantikan.

Iklan
Iklan

Tidak sampai sejam kemudian, pengumuman rasmi dibuat bahawa ahli ekonomi Purbaya Yudhi Sadewa dilantik menggantikan beliau.

Sri Mulyani, yang pernah berkhidmat di bawah tiga Presiden dalam dua tempoh berbeza sebagai Menteri Kewangan, dianggap sebagai antara tokoh penting yang mengekang janji-janji besar perbelanjaan Presiden Prabowo, termasuk program makanan percuma bernilai tinggi untuk 82.9 juta rakyat Indonesia.

Iklan

Walaupun Sri Mulyani pada awalnya dikekalkan oleh Prabowo selepas beliau mengambil alih kuasa tahun lalu sebagai isyarat kesinambungan dasar daripada pentadbiran Jokowi hubungan antara kedua-duanya dilaporkan renggang.

Sumber berkata, pendekatan berhati-hati Sri Mulyani sering bercanggah dengan agenda pertumbuhan besar Presiden Prabowo. Projek makanan percuma itu sahaja dijangka menelan belanja AS$20.7 bilion (sekitar RM95.7 bilion) pada 2026, hampir dua kali ganda bajet tahun ini.

Iklan

Sebaliknya, peruntukan kepada kerajaan tempatan dipotong bagi mengawal defisit fiskal. Undang-undang fiskal Indonesia menetapkan defisit tidak boleh melebihi 3 peratus KDNK satu peraturan yang dihormati ketat semasa era Sri Mulyani, namun Prabowo sebelum ini menyatakan Indonesia mampu menanggung lebih banyak hutang demi pertumbuhan.

Hubungan antara kedua-duanya juga dilaporkan semakin renggang apabila komunikasi langsung semakin berkurangan. Sumber berkata, Sri Mulyani hanya dilantik semula ke Kabinet tahun lalu selepas mendapat sokongan daripada tiga bekas Presiden bagi meyakinkan pasaran.

Difahamkan juga, beliau tergugat selepas salah sebuah kediamannya dirompak ketika protes besar-besaran membantah keutamaan perbelanjaan kerajaan serta dasar cukai baru-baru ini.

Namun, hingga saat penggugurannya, Sri Mulyani tetap menjalankan tugas seperti biasa. Seorang sumber kerajaan mengesahkan beliau tidak meletakkan jawatan, sebaliknya diminta untuk berundur.- Agensi