Jeffrey Epstein dari sosiolit ke penjenayah seksual

Iklan
Potret dirakamkan bersama Trump (kanan) di kediaman pemimpin itu di Mar-a-Lago, Palm Beach, Florida pada 1997 turut mencetuskan kontroversi.

NEW YORK -"Saya bukan pemangsa seksual, tetapi saya ialah pesalah. Ada perbezaan antara pembunuh dan individu yang mencuri bagel."

Kenyataan itu dibuat Jeffrey Epstein sebagai cubaan menegakkan benang yang basah ketika diwawancara New York Post pada 2011 selepas sisi gelap kehidupannya mula terbongkar.

Iklan
Iklan

Epstein ditemui mati di penjara New York pada 10 Ogos 2019 ketika masih berdepan perbicaraan berhubung kes jenayah seksual melibatkan mangsa bawah umur dan pemerdagangan seks.

Kematiannya ketika itu turut mencetuskan teori konspirasi dan spekulasi yang mendakwa dia mungkin dibunuh untuk menutup rahsia golongan berpengaruh yang terpalit skandal seks menggemparkan.

Iklan

Salah laku seksual ahli kewangan berprofil tinggi itu sekali lagi mendapat perhatian selepas Kongres Amerika Syarikat (AS) meluluskan Akta Ketelusan Fail Epstein pada November 2025.

Ratusan ribu gambar yang menjadi bukti jenayah seksual dilakukannya turut dipaparkan kepada umum.

Iklan

Beberapa minggu selepas itu, Presiden Donald Trump menandatangani rang undang-undang (RUU) mengarahkan Jabatan Kehakiman menerbitkan kesemua fail berkaitan siasatan jenayah Epstein.

Ia dikeluarkan secara berperingkat hingga mendedahkan beberapa nama individu terkenal termasuk sejumlah pemimpin negara dan selebriti.

Beberapa pihak mendakwa sebahagian dokumen tersebut mungkin telah ditapis sebagai cubaan untuk menyembunyikan kebenaran atau melindungi individu ternama.

Mangsa tampil

Jeffrey Edward Epstein dilahirkan pada 20 Januari 1953 di New York dan pernah mengajar subjek matematik dan fizik di sebuah sekolah swasta berprestij di Manhattan pada pertengahan 1970-an.

Tahap kepandaiannya mengagumkan meskipun tidak tamat pengajian di New York University (NYU).

Kehebatan luar biasa dimilikinya menyebabkan Epstein diperkenalkan oleh bapa temannya kepada seorang rakan kongsi kanan di bank pelaburan Wall Street, Bear Stearns.

Setelah menjadi rakan kongsi terhad selama empat tahun, dia kemudiannya mengasaskan firma sendiri, J Epstein and Co.

Syarikat tersebut menguruskan aset pelanggan bernilai lebih AS$1 bilion (RM3.95 bilion) dan membawa keuntungan besar kepadanya.

Epstein membelanjakan kekayaan dimilikinya untuk membeli rumah agam di Florida, sebuah ladang di New Mexico dan kediaman persendirian untuk berparti dengan selebriti serta ahli politik.

Fail Epstein mendedahkan hubungannya dengan beberapa tokoh ternama termasuk pemimpin dunia.

Pada fasa awal kejayaannya, dia membina imej yang bersih malah pernah disenaraikan sebagai 'Bachelor of the Month' oleh majalah Cosmopolitan ketika berusia 27 tahun.

Pada 1980-an, Epstein menggunakan pengaruhnya untuk menjalinkan hubungan dengan golongan kaya dan berkuasa seperti Michael Jackson, Bill Gates dan beberapa profesor terkemuka serta Presiden ke-42 AS, Bill Clinton dan 'bersahabat' dengan Trump.

Pada 2005, buat pertama kali dia berdepan tuduhan melakukan serangan seksual terhadap beberapa gadis di Palm Beach.

Perbuatannya terbongkar selepas seorang wanita mendakwa anak tirinya yang berusia 14 tahun dicabul 'lelaki kaya' bernama Jeff.

Kes itu turut mendapat perhatian Biro Siasatan Persekutuan (FBI) hingga menyebabkan 40 mangsa tampil membuat aduan.

Pada 2018, wartawan penyiasat di Miami Herald, Julie K Brown mengenal pasti kira-kira 80 mangsa yang terselamat daripada penderaan seksual Epstein dan rakan sekongkolnya.

Laporan mengejutkan itu telah mencetuskan siasatan semula terhadap dakwaan jenayah seksual hingga membawa kepada penahanannya pada Julai 2019.

Sebelum keadilan dapat ditegakkan buat semua mangsa, Epstein ditemui mati dengan kecederaan yang didakwa akibat percubaan membunuh diri.

Kematiannya tidak menghentikan orang ramai daripada terus membincangkan skandal dan salah laku seksual yang memberi impak besar kepada ratusan gadis dan wanita muda serta mendedahkan jaringan hubungan kompleksnya dengan golongan berkuasa.

Pendedahan terakhir yang juga terbesar Fail Epstein telah mencetuskan kemarahan mangsa berikutan identiti dan maklumat peribadi mereka kini diketahui umum.

"Kami amat kecewa kerana lelaki-lelaki yang melakukan serangan seksual ke atas kami terus bersembunyi dan dilindungi," menurut kenyataan bersama 18 wanita tersebut. - Agensi