Cegah buli: Polis lawat asrama termasuk waktu malam

Iklan
Peserta Program Town Hall PDRM Kedah bergambar bersama di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Alor Setar pada Selasa.

ALOR SETAR – Polis Kedah mengambil langkah proaktif dalam menangani isu buli dalam kalangan pelajar sekolah apabila Ketua Polis Daerah di seluruh negeri ini diarahkan untuk mengadakan lawatan ke asrama termasuk pada waktu malam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, arahan itu dikeluarkan susulan peningkatan ketara kes buli yang direkodkan sehingga bulan lalu, iaitu sebanyak 30 kes berbanding hanya 10 kes sepanjang tahun sebelumnya.

Iklan
Iklan

Adzli (dua kanan) semasa melawat pameran sempena Program Town Hall PDRM Kedah di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Alor Setar pada Selasa.

Menurutnya, lawatan tersebut akan dilakukan oleh Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) atau Ketua Polis Daerah sendiri bergantung kepada keperluan dan situasi semasa.

Iklan

“Setakat ini, kita belum bercadang untuk mewujudkan skuad khas kerana PPS sudah memainkan peranan penting. Namun, apabila berlaku kes buli, kita akan meneliti lokasi berisiko seperti asrama pelajar.

“Kita juga telah berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan bersetuju untuk melaksanakan lawatan ke asrama pada waktu malam sebagai langkah pencegahan,” katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Town Hall Discussion Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), di sini.

Adzli berkata, lawatan ke sekolah dan asrama akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa, namun tidak akan mengikut jadual tetap.

“Kita akan tentukan masa yang sesuai (untuk lawatan), mungkin pada waktu malam atau hujung minggu ketika pelajar lebih aktif dan berisiko tinggi untuk berlakunya insiden buli.

“Langkah ini bukan bertujuan menakutkan pelajar, tetapi sebagai usaha mendekati mereka dan memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat,” ujarnya.