Tiada budaya 'kapla' di sekolah asrama di Perak

Iklan
Khairudin ketika menjawab soalan lisan Berhanuddin Ahmad (PN-Manong) sempena Mesyuarat Kedua Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.

IPOH - Kerajaan Perak menegaskan tiada budaya ‘kapla’ atau gangsterisme wujud di sekolah asrama di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, perkara itu disahkan hasil siasatan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak serta pihak polis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kes buli yang berlaku di sekolah di negeri ini berpunca daripada perasaan tidak puas hati dalam kalangan murid.

“Bagi menjawab soalan berkenaan dengan budaya ‘kapla’ atau gangsterisme, hasil siasatan yang dilakukan oleh JPN dan maklumat diperoleh daripada PDRM menunjukkan tiada budaya ‘kapla’ atau gangsterisme wujud di asrama sekolah negeri Perak.

Iklan

“Kes-kes buli yang berlaku adalah akibat perasaan tidak puas hati yang timbul serta perselisihan komunikasi antara murid,” katanya ketika menjawab soalan lisan Berhanuddin Ahmad (PN-Manong) sempena Mesyuarat Kedua Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Khairudin berkata, pada tahun 2024 sebanyak 85 kes buli direkodkan di Perak dengan 23 kes berlaku di asrama, sembilan kes di luar sekolah dan 53 kes di dalam sekolah.

Iklan

Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 49 kes buli direkodkan dengan 14 kes berlaku di asrama, 32 kes di dalam sekolah manakala tiga kes di luar sekolah.

Beliau memaklumkan, kerajaan negeri bersama JPN telah mengambil beberapa langkah pencegahan termasuk memperkasakan peranan warden asrama dengan memastikan nisbah pelantikan mencukupi, penyediaan jadual bertugas, pemeriksaan berkala serta mesyuarat tetap dengan pentadbir sekolah.

Selain itu, katanya, setiap asrama diwajibkan mempunyai peraturan jelas, peti aduan khas, rekod keluar masuk murid serta pelaksanaan ‘roll-call’ dengan bantuan pengawas bagi mengukuhkan kawalan disiplin.

“Peti aduan mestilah terletak di tempat yang mudah diakses oleh murid dan guru serta perlu diselenggara dan sentiasa disemak oleh warden bertugas agar sebarang aduan dapat segera ditangani dan diselesaikan oleh pentadbir atau warden asrama.

“Setiap pergerakan keluar dan masuk murid asrama hendaklah direkodkan supaya dapat mengesan pergerakan semasa murid asrama. Pemeriksaan dan ‘roll-call’ dilaksanakan secara berkala dengan bantuan pengawas bertugas pada waktu pagi dan malam,” katanya.

Khairudin berkata, dari aspek kesejahteraan emosi, murid turut disaring melalui Program Minda Sihat selain diberi intervensi kaunseling dan sokongan psikososial dengan kerjasama agensi luar seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), polis serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) psikologi.

Menurutnya, JPN Perak juga melaksanakan pemantauan murid berisiko, menerapkan nilai empati dan toleransi melalui program mentor-mentee serta mendedahkan pelajar kepada undang-undang jenayah menerusi ceramah bersama pihak polis.