CEO, tiga pemimpin GISBH didakwa kes AMLA

Iklan
Nasiruddin (tengah) antara empat pemimpin tertinggi GISBH yang akan didakwa pada Selasa.

KAJANG – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili Nasiruddin, 66, berkata, tiga pemimpin tertinggi perniagaan berkenaan juga akan didakwa bagi kes sama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, maklumat lain berhubung kes berkenaan belum diperoleh dan hanya akan diketahui selepas pertuduhan dibuat.

“Ya, empat pemimpin tertinggi syarikat berkenaan akan didakwa hari ini dan mereka akan dibawa ke mahkamah,” katanya selepas prosiding pengurusan kes di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang.

Iklan

Ia berhubung kes menjadi ahli kumpulan jenayah terancang membabitkan Nasiruddin; isterinya, Azura Md Yusof; anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari dan 19 pemimpin tertinggi perniagaan itu.

Pada 23 Oktober 2024, mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, masing-masing atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, sejak 2020.

Iklan

Mereka ialah lapan tertuduh wanita iaitu Hamimah Yakub, 72, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29, dan Nur Jannah Omar, 33.

Sementara itu, 11 tertuduh lelaki lain ialah Hasnan Abd Hamid, 54; Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Mereka selaku pemohon merayu kepada mahkamah supaya dilepaskan dengan jaminan sehingga kes itu didengar dan diputuskan, namun pihak pendakwaan membantah permohonan tersebut.

Pada 13 Januari lalu, Hamimah yang juga akauntan GISBH menjadi tertuduh pertama yang dilepaskan dengan jaminan.

Pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Sesyen Selayang membenarkan kes yang dihadapi Hamimah bersama 21 tertuduh itu dipindahkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.