KOTA BHARU - Polis Kelantan merampas sepucuk pistol bersama 36 butir peluru selepas menahan seorang lelaki dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Paloh, Pintu Geng di sini pada Sabtu.
Serbuan kira-kira jam 5 pagi itu dilakukan sepasukan polis dari Cawangan D9 Siasatan Khas, bersama Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, penganggur berusia 50 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah dan narkotik (9).
"Pistol yang dirampas adalah jenis Glock 26 Gen 4 Austria 9x9, 34 butir peluru hidup bertulis A Auto 380 Auto serta dua butir peluru hidup bertulis PAC 380 Auto.
"Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujar beliau, lelaki berkenaan direman selama empat hari sehingga Rabu.
Menurutnya, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi Penalti lebih berat 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis Kelantan tahan 39 individu dalam Op Kesan, Op Mega Cantas Khas
KOTA BHARU - Polis Kelantan menahan 39 individu termasuk empat warga Indonesia menerusi pelaksanaan Op Kesan dan Op Mega Cantas Khas yang dijalankan secara serentak bermula 3 hingga 7 September lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, Op Kesan menumpukan kepada usaha menjejaki serta menahan individu dikehendaki bagi kesalahan jenayah khususnya melibatkan jenayah seksual, wanita dan kanak-kanak.
“Dalam operasi ini, polis berjaya menahan sembilan lelaki tempatan yang masih dikehendaki.
"Op Mega Cantas Khas pula memberi fokus kepada jenayah lain yang berlaku di negeri ini dan berjaya membawa kepada 30 tangkapan membabitkan 26 warga tempatan dan empat warga Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, daripada jumlah itu pecahan tangkapan adalah 25 lelaki dan seorang perempuan tempatan.
Ujarnya, manakala selebihnya tiga lelaki serta seorang perempuan Indonesia.
Mohd Yusoff memberitahu, kesemua mereka berusia lingkungan 16 hingga 75 tahun.
“Seramai 12 daripada jumlah itu pula didapati positif dadah selepas ujian saringan air kencing dijalankan.
"Kesemua tangkapan dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) untuk dokumentasi serta siasatan lanjut mengikut pelbagai peruntukan undang-undang," katanya.
Tambah beliau, antaranya Seksyen 376 dan 376 B Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan tanpa kerelaan dan persetubuhan dengan mahram, Seksyen 323 Kanun Keseksaan/18A Akta Keganasan Rumah Tangga kerana mendatangkan kecederaan, serta Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak.
Ujarnya, selain itu turut disiasat mengikut Seksyen 324, 354, 380, 392, 395/397, 427, 435, 448 dan 506 Kanun Keseksaan, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Imigresen 1959/63, Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960 serta Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Mohd Yusoff menegaskan, operasi seumpama itu akan terus diperhebatkan dalam usaha membanteras jenayah di negeri ini.
“Polis memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak melibatkan diri dalam apa jua bentuk kegiatan jenayah kerana tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.