Guru kena tipu RM230,447 kerana takut waran tangkap, aset dibeku

Iklan
Hasrat seorang guru untuk melepaskan diri daripada dikenakan waran tangkap dan pembekuan aset bertukar mimpi ngeri apabila kerugian RM230,447 diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon. Gambar hiasan (Gambar kecil: Yahaya)

KUANTAN – Hasrat seorang guru untuk melepaskan diri daripada dikenakan waran tangkap dan pembekuan aset bertukar mimpi ngeri apabila kerugian RM230,447 diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian itu bermula pada 16 Jun lalu apabila wanita berusia 40 tahun dari Maran menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai insurans.

Iklan
Iklan

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada beberapa individu lain yang kononnya pegawai polis, pendakwa raya dan pegawai Bank Negara Malaysia (BNM).

“Suspek kemudian mendakwa mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan mempunyai 23 akaun bank berdaftar atas namanya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Yahaya berkata, suspek turut mengarahkan mangsa membuka akaun baharu di sebuah bank sebelum membuat pinjaman.

“Mangsa diminta memasukkan wang simpanan, wang pinjaman dan hasil gadaian barang kemas ke dalam akaun kononnya untuk menangguhkan waran tangkap serta mengelakkan aset miliknya daripada dibekukan.

Iklan

“Sepanjang tempoh 24 Jun hingga 2 September lalu, mangsa telah melakukan 11 transaksi ke beberapa akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM230,447,” jelasnya.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan supaya segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar membuat semakan nombor akaun yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my/