JOHOR BAHRU – Seramai 94 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam satu operasi penguatkuasaan membabitkan 43 premis di sekitar Iskandar Puteri dan Kulai pada Rabu lalu.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu disertai pegawai daripada Unit Tindakan Bahagian Penguatkuasa serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bangunan Sultan Iskandar.
“Secara keseluruhan seramai 199 orang diperiksa dan hasilnya 94 orang ditahan terdiri daripada 38 lelaki Bangladesh, 15 lelaki Indonesia, 12 lelaki Myanmar, 6 lelaki Pakistan, 4 lelaki India, 2 lelaki Vietnam, seorang lelaki Nepal, seorang lelaki Thailand, 10 perempuan Myanmar serta 5 perempuan Indonesia.
“Mereka yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 61 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat
Menurut beliau, kesemua tahanan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Selain itu, seorang warga asing yang bertindak sebagai pengurus premis ditahan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen, manakala dua warga tempatan ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Beliau berkata, semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.
“Jabatan Imigresen menegaskan orang ramai serta majikan tidak melindungi PATI termasuk mengambil mereka bekerja.
"Pihak majikan juga dinasihatkan mendapatkan maklumat tepat daripada pejabat imigresen sekiranya ada pihak mendakwa boleh menguruskan pekerja asing,” katanya.