KPDN terima 5 aduan sejak penyaluran RM100 SARA

Iklan
ARMIZAN

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima lima aduan rasmi di platform kementerian sejak penyaluran Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 pada Ahad hingga Selasa lalu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu hanya dua aduan melibatkan isu secara langsung berkaitan SARA.

Iklan
Iklan

“Kita mengambil tindakan susulan terhadap aduan dan laporan yang diterima di platform-platform rasmi KPDN. Setakat 31 Ogos hingga 2 September lalu, sebanyak lima aduan rasmi diterima dan dua daripadanya terkait dengan pelaksanaan SARA.

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) KPDN, setiap aduan yang diterima berkaitan harga dan bekalan akan diambil tindakan dalam tempoh 24 jam,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian dalam sidang Dewan Negara di sini pada Khamis.

Iklan

Armizan berkata, mengambil kira tambahan pemberian RM100 SARA kepada semua golongan dewasa iaitu 22 juta rakyat Malaysia yang melibatkan anggaran perbelanjaan melebihi RM2 bilion, KPDN sejak awal telah mengambil langkah berjaga-jaga.

Sejak Ahad hingga Selasa lalu katanya, penguat kuasa KPDN turut menjalankan pemeriksaan ke atas 8,438 premis di seluruh negara.

Iklan

“Kita juga menggerakkan semakan data pemantauan harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) melibatkan 1,160 premis setiap hari, yang merangkumi 316 barangan.

“KPDN telah mengambil langkah awal memasukkan semua barangan yang disenaraikan dalam program SARA ke dalam senarai pemantauan PPH,” ujarnya.

Sementara itu, Armizan memberitahu, KPDN menyasarkan pelaksanaan sebanyak 20,000 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) tahun ini sekali gus merekodkan peningkatan 61 peratus berbanding tahun lalu.

Menurutnya, kenaikan itu susulan pengumuman peruntukan tambahan untuk pelaksanaan PJRM oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu.

“Penganjuran ini meliputi 222 kawasan Parlimen, 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 zon di Wilayah Persekutuan. Buat masa ini, PJRM dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik melalui kaedah dalam premis, luar premis dan bergerak.

“Sehingga 2 September lalu, bilangan rakan strategik yang terlibat dalam PJRM adalah sebanyak 1,234 peruncit merangkumi pasar raya besar, pasar raya, pemborong, kedai runcit, koperasi, vendor logistik, pertubuhan serta 48 pasar awam,” katanya.