ISU penyeludupan migran dilihat semakin menjadi-jadi sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Terbaharu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas pada Jumaat berjaya menumpaskan satu sindiket dikenali sebagai Takor yang menggunakan helah menyamar sebagai pemandu e-hailing untuk mengaburi pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi hasil risikan selama dua minggu itu melibatkan dua lokasi berasingan di sekitar Kajang.
Serbuan tersebut mendedahkan bahawa migran diseludup dan dikendalikan melalui saluran yang kelihatan sah di mata masyarakat, sekali gus menyukarkan pemantauan serta penguatkuasaan daripada pihak berkuasa.
Perkara itu membangkitkan kebimbangan besar terhadap keselamatan negara dan integriti sistem perkhidmatan awam seperti e-hailing yang kini dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pada masa kini, e-hailing merupakan medium pengangkutan penting dan dipercayai masyarakat kerana dijamin melalui pendaftaran serta kawalan daripada syarikat penyedia aplikasi berkenaan.
Bagaimanapun, apabila sindiket penyeludupan migran menyalahgunakan platform tersebut dengan menyamar sebagai pemandu, ia menimbulkan beberapa risiko besar kepada penumpang termasuk ancaman keselamatan.
Sebagai contoh, kes jenayah seperti rompakan, penculikan, pemerdagangan orang malah eksploitasi penumpang berpotensi boleh berlaku.
Penyalahgunaan e-hailing juga boleh mendorong kepada peningkatan jenayah rentas sempadan.
Jika dibiarkan begitu sahaja, ia akan memberi cabaran kepada pihak berkuasa dari aspek penguatkuasaan kerana migran dapat bergerak secara bebas di bandar tanpa menimbulkan kecurigaan.
Kehadiran sindiket sebegini turut mencetuskan persoalan mengenai sejauh mana ketatnya kawalan latar belakang pemandu oleh penyedia aplikasi.
Jika ia mudah ditembusi, sudah tentu keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan berkenaan boleh terjejas.
Bukan itu sahaja, sindiket seperti ini juga licik dan aktif menggunakan platform digital sebagai laluan komunikasi mereka.
Pada 16 Jun lalu Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan kegiatan sindiket yang menggunakan pelbagai akaun media sosial bagi menawarkan khidmat membawa masuk dan keluar migran.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pada Februari dan Mac lalu, Bahagian D3 telah melancarkan Op Khas bagi membanteras sindiket penyeludupan migran yang menggunakan media sosial sebagai platform utama kegiatan mereka.
Ujar beliau, modus operandi sindiket ialah menawarkan perkhidmatan melalui iklan di media sosial berikutan capaian meluas dan kemudahan penyamaran di platform digital.
Tambahnya, sindiket akan menggunakan rumah penampungan sebagai tempat transit kepada migran yang hendak masuk atau keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.
Berdasarkan perkembangan tersebut, jelas menunjukkan bahawa sindiket penyeludupan migran semakin berani mengeksploitasi teknologi moden dan kelemahan sistem kawalan sedia ada.
Jika dulu kegiatan sindiket bergantung kepada jalan tikus atau laluan laut, kini ia bergerak lebih canggih dengan penyamaran menggunakan platform e-hailing dan media sosial.
Perkembangan modus operandi berkenaan membuktikan bahawa sindiket sentiasa mencari ruang baharu bagi mengaburi pihak berkuasa serta melicinkan operasi mereka.
Justeru, tindakan tegas dan bersepadu amat diperlukan bagi memastikan Malaysia tidak menjadi destinasi mudah bagi migran tanpa izin.
Pencegahan awal jauh lebih baik daripada menangani krisis yang sudah berakar dan inilah masanya untuk memperkukuh sistem kawalan serta memperketat undang-undang.
*Mukhriz Mat Husin ialah wartawan Sinar Harian