SEMPENA Rabiulawal bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW, umat Islam di seluruh dunia mengambil kesempatan untuk mengingati keperibadian agung Baginda yang menjadi rahmat buat sekalian alam.
Antara gelaran yang diberikan kepada Rasulullah SAW adalah ummi (tidak membaca dan menulis) yang sering disalahfahami ramai seolah-olah menggambarkan kelemahan.
Hakikatnya, ia merupakan bukti mukjizat Baginda SAW.
Memperbetulkan tanggapan salah itu, Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan, ummi menurut Az-Zajjaj, ia bermaksud Nabi Muhammad SAW tidak membaca dan menulis sebagaimana majoriti orang Arab ketika itu.
Ia sekali gus menutup ruang tuduhan musyrikin bahawa al-Quran ditiru daripada kitab Taurat atau Injil.
“Al-Fairuz Abadi pula menyatakan, ummi bermaksud tidak pandai menulis, manakala Ar-Raghib Al-Asfahani berpendapat, ummi seperti keadaan asal manusia lahir tanpa ilmu menulis dan mengira. Ada pula mengaitkan ummi dengan nisbah kepada Makkah, Umm al-Qura.
Menurut Bahagian Dakwah Jakim, al-Quran dan hadis banyak merakamkan sifat ummi Nabi Muhammad SAW.
Antaranya, ALLAH SWT berfirman: “DIALAH ALLAH yang mengutus dalam kalangan ummi itu seorang rasul.” (Surah al-Jumu’ah: 2)
Dalam surah al-A’araf ayat ke-157, firman ALLAH SWT: “Mereka yang mengikuti rasul, nabi yang ummi, yang tertulis dalam Taurat dan Injil.”
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Kita umat ummi. Kita tidak menulis dan tidak mengira.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
“Tetapi sebab Baginda ummi, tuduhan itu terus terbatal.
“Logiknya, mana mungkin orang yang tak pernah baca kitab lama boleh keluarkan wahyu setanding, bahkan jauh mengatasi kitab terdahulu?” soalnya.
Sedangkan, masyarakat Arab sendiri menjadi saksi dan mengenali Baginda SAW sejak kecil yang tidak pernah belajar membaca atau menulis.
Tiba-tiba pula datang dengan al-Quran penuh ilmu, falsafah, hukum, sejarah, sains dan keindahan bahasa.
“Itu memang tidak masuk akal kalau bukan mukjizat.
“Seperkara lagi, Nabi Muhammad SAW berdebat dengan Yahudi, Nasrani dan bahkan pemuka Quraisy. Semua kalah berhujah. Kalau Nabi ‘tidak bijak’ (seperti yang disalahfahami), bagaimana boleh berlaku?
“Jadi, sifat fatonah (bijaksana) memang sifat wajib rasul. Ummi hanya menutup ruang tuduhan, bukan kekurangan,” terangnya panjang lebar.
Bahagian Dakwah Jakim turut membuat analogi mudah bagi memudahkan kita memahaminya.
“Bayangkan seorang kampung yang tak pernah masuk sekolah, tak pernah baca buku, tak pernah menulis, tiba-tiba dia lancar teori fizik yang lebih hebat daripada (Albert) Einstein.
“Orang akan kata: ‘Ini bukan ‘kaleng-kaleng’. Mesti ada ilmu ajaib’. Begitulah Nabi Muhammad SAW dengan al-Quran,” katanya.