IPOH – Golongan muda dinasihatkan supaya tidak terburu-buru memuat naik maklumat yang belum sahih ke media sosial masing-masing semata-mata untuk mendapatkan perhatian.
Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin berkata, pihaknya mengikuti perkembangan semasa mengenai kesilapan hantaran media sosial oleh pemimpin politik tertentu.
Menurutnya, bukan semua isu harus dijadikan bahan untuk menarik perhatian.
“Saya ingin menasihatkan supaya sesuatu isu yang berlaku, jangan kita terlalu gelojoh untuk membuat kenyataan.
“Jangan terlalu teruja untuk menunggang semua isu demi mengejar populariti dan jangan semua perkara mahu ditunggangkan dalam isu politik,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Karnival Mesra Anak Muda (Kamu) 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, Rabu.
Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menjalankan siasatan dan mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri, berhubung hantaran palsu berunsur perkauman di media sosial.
Menurut kenyataan SKMM, siasatan itu dibuat susulan hantaran mengenai insiden seorang wanita menaiki pentas semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh, baru-baru ini.
Pada 1 September lalu, Sinar Harian melaporkan Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat itu tampil memohon maaf dan mengakui kekhilafan berhubung satu hantaran di Facebook miliknya yang tular berkaitan insiden cubaan seorang wanita menyerang Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Wakil rakyat Pas itu mendakwa hantaran awal yang dibuatnya telah dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.