IPOH – Paras air Tasik Temengor berada pada tahap rendah susulan kekurangan kemasukan air semula jadi dari kawasan tadahan akibat taburan hujan yang berkurangan sejak beberapa bulan lalu.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, hasil pemantauan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapati keadaan tersebut telah memberi kesan rantaian kepada sistem empangan Sungai Perak, termasuk empangan di hilir.
Menurut beliau, empangan Tasik Bersia, Tasik Kenering dan Tasik Chenderoh hampir berada pada paras operasi minimum, sekali gus mengehadkan keupayaan pelepasan air ke hiliran sekitar 100 hingga 120 meter padu sesaat bagi memastikan kestabilan paras empangan.
“Had pelepasan ini perlu bagi mengelakkan takungan empangan memasuki zon operasi kritikal serta memastikan kesinambungan aliran Sungai Perak terus terpelihara.
“Kekangan pelepasan berpotensi memberi implikasi lebih meluas, antaranya sokongan operasi penjanaan Stesen Janakuasa Janamanjung yang menyumbang kira-kira 25 peratus keperluan tenaga Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Mohammad Nizar berkata, Empangan Bukit Merah turut merekodkan paras air kritikal apabila kini berada pada 21.05 kaki dengan baki simpanan air sekitar 10.837 juta meter padu atau bersamaan 19.89 peratus.
Katanya, paras tersebut diklasifikasikan sebagai Aras Kritikal Pengairan Tahap Dua, menyebabkan operasi bekalan air bagi tujuan pengairan sawah padi di Rancangan Pengairan Kerian dilaksanakan secara catuan.
“Rekod pemantauan menunjukkan paras air Empangan Bukit Merah mula merosot sejak 25 Disember 2025 sebelum mencecah paras kritikal pada 12 Januari lalu,” katanya.
Sehubungan itu, beberapa langkah mitigasi telah dan sedang dilaksanakan bagi mengurangkan kesan kemarau, termasuk catuan bekalan pengairan mengikut kompartmen serta penggunaan pam bergerak di beberapa lokasi terjejas dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan IADA Kerian.
Mohammad Nizar berkata, bagi memastikan kelestarian sumber air negeri, JPS Perak turut mengemukakan permohonan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan Tasik Temengor serta Empangan Bukit Merah.
Ujarnya, pelaksanaan OPA sebagai langkah mitigasi strategik bagi meningkatkan peluang hujan dan mengelakkan gangguan bekalan air pengairan serta domestik sekiranya keadaan kemarau berterusan.
“Pelaksanaan operasi ini akan dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia, NADMA dan Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya.
Beliau menegaskan pemantauan rapi akan terus dilaksanakan dan orang awam dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada kenyataan rasmi kerajaan negeri serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kebimbangan awam.