MANJUNG – [DIKEMASKINI] Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan mereput di Sungai Jambatan Kampung Lubuk, Changkat Keruing dekat Pantai Remis pada 29 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat berkenaan kira-kira jam 5.30 petang.
Menurutnya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mayat lelaki berkenaan berada dalam keadaan separuh bogel dan hanya memakai kemeja-T berwarna biru bertulisan tanpa seluar.
"Mayat tersebut diangkat keluar dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pantai Remis.
"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada tubuh badan si mati," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Hasbullah berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada Khamis mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul.
Tambahnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki melibatkan kes bunuh.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-688 6222 atau talian hotline WhatsApp 017-682 8005 bagi membantu siasatan.