Bung Moktar tahu Zizie Izette terima wang RM2.8 juta selepas dipanggil SPRM

Iklan
Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen pada Rabu bahawa isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad tidak pernah memberitahu mengenai wang pengenalan sebanyak RM2.8 juta daripada dua ejen pelaburan Public Mutual.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata demikian ketika prosiding bela diri hari kedua, atas tiga kes rasuah dihadapi Bung Moktar, 66, sementara kes bersubahat membabitkan Zizie Izette, 47, di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

Iklan
Iklan

Semasa disoal peguam, Datuk Seri K Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette, Bung Moktar yang juga bekas Menteri Kerja Raya Negeri Sabah itu berkata, perkara berkenaan hanya diketahui selepas dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa dia tidak mencampuri urusan kerja pelakon drama ‘Spa Q’ tersebut, dengan alasan menghormati kebebasan kepada isterinya.

Iklan

Peguam: Datin Seri Zizie Izette tidak akan memberitahu berapa pendapatannya?

Bung Moktar: Benar tidak pernah.

Iklan

Peguam: Saya cadangkan, Datin Seri Zizie Izette juga tidak beritahu mengenai pelaburan yang beliau buat?

Bung Moktar: Benar.

Peguam: Setujukah, Datuk Seri tidak pernah berbincang mengenai urusan rasmi, termasuk kerja-kerja dalam Felcra Berhad dengan Datin Seri Zizie Izette.

Bung Moktar: Setuju.

Pengerusi BN Sabah yang akan menyambut kelahiran pada 15 September ini turut bersetuju bahawa pelakon terbaik dalam Anugerah Skrin dalam drama ‘Aduhai Esah’ pada tahun 2001 terbabit, tidak mengambil tahu mahupun memberi pendapat mengenai urusan kerjanya di Parlimen.

Ketika prosiding pada 27 Januari 2022 lalu, perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, berkata, Zizie Izette layak menerima wang pengenalan itu kerana pelakon berkenaan memperkenalkan suaminya untuk Felcra bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah itu.

Menurutnya, bayaran wang pengenalan yang diberikan kepada Zizie Izette merupakan strategi pemasaran pihaknya apabila wanita itu turut memperkenalkan seorang pegawai kanan Felcra untuk membuat pelaburan sama.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa atas dua pertuduhan secara rasuah memperoleh untuk dirinya, suapan wang tunai RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit Public Mutual amanah.

Dia didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad dan akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya.

Dua kesalahan didakwa dilakukan di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015 dan 12.16 tengah hari, 19 Jun tahun sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette atas sebab dan tempat yang sama, jam 12.28 tengah hari pada 19 Jun 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di lokasi, tarikh dan masa sama.

Prosiding bersambung jam 2 petang.