TUMPAT - Dua mayat lelaki masing-masing ditemukan terapung pada jarak 100 meter antara satu sama lain di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Pasir Pekan, Wakaf Bharu di sini pada Jumaat.
Kedua-dua mangsa yang berusia 31 dan 42 tahun itu ditemukan kira-kira jam 7 dan 7.55 malam.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya telah ke lokasi kejadian dan mendapati kedua-dua mayat terapung di tepi tebing sungai.
"Pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan luaran pada tubuh mangsa.
"Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan hasil pengesahan pegawai perubatan mendapati punca kematian adalah akibat lemas," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di talian 09-725 7222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Ujarnya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan aspek keselamatan, khususnya ketika berada di kawasan sungai.