Pertuduhan kes bunuh wanita Myanmar ditangguh 1 Oktober depan

Iklan
Tertuduh (dua dari kanan) diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Rabu.

BUKIT MERTAJAM - Mahkamah Majistret di sini menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap seorang lelaki etnik Rohingya yang didakwa membunuh kekasihnya bulan lalu bagi membolehkan pelantikan jurubahasa.

Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit membuat keputusan itu selepas tertuduh, Abdul Kader Abdu Rahman, 52, memaklumkan dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu.

Iklan
Iklan

Mahkamah menetapkan 1 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk memberi masa menyediakan khidmat jurubahasa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Mahkamah turut tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Mengikut pertuduhan, Abdul Kader didakwa membunuh seorang wanita warga Myanmar, dikenali sebagai Ah Me pada Ogos lalu.

Iklan

Kes berkenaan dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.