Tatakelola kukuh asas bina negara kuat, pacu pelaburan lestari - SPRM

Iklan
CPI mengukur cara kerja, tadbir urus atau tatakelola sektor awam dengan melihat sejauh mana ketelusan, kecekapan dan keberkesanan dipraktikkan oleh sektor terbabit dalam memberikan perkhidmatan kepada golongan sasar. - Gambar hiasan, gambar kecil: Idris

SHAH ALAM - Komitmen memerangi rasuah, kestabilan politik, sistem percukaian yang telus serta perkhidmatan kerajaan yang cekap menjadi antara elemen yang dinilai pelabur dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara.

Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM, Datuk Idris Zaharudin berkata, CPI bukan hanya mengukur usaha kerajaan dalam membanteras rasuah melalui siasatan, pendakwaan dan sabitan kes rasuah semata-mata.

Iklan
Iklan

Namun, menurutnya, CPI mengukur cara kerja, tadbir urus atau tatakelola sektor awam dengan melihat sejauh mana ketelusan, kecekapan dan keberkesanan dipraktikkan oleh sektor terbabit dalam memberikan perkhidmatan kepada golongan sasar.

"Sekiranya perkhidmatan yang diberikan kepada golongan sasar itu sangat baik dari segi tadbir urusnya, golongan sasar akan berasa puas hati terhadap perkhidmatan tersebut. Maka persepsi yang baik terhadap perkhidmatan awam akan mula terbentuk, sekali gus penilaian terhadap prestasi Malaysia dalam CPI akan turut meningkat, begitu juga sebaliknya.

Iklan

"Usaha meningkatkan prestasi CPI negara tidak boleh dilaksanakan oleh satu pihak semata-mata kerana usaha ini memerlukan kekuatan kerjasama secara bersepadu oleh seluruh agensi kerajaan.

"Setiap agensi kerajaan dilihat sebagai satu komponen daripada sistem perkhidmatan kerajaan yang besar, yang berfungsi bersama-sama dalam membanteras rasuah dan memperkukuh tatakelola perkhidmatan awam secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, ketidaksepakatan antara agensi kerajaan menyebabkan usaha reformasi kerajaan yang baik menjadi kabur, melemahkan keyakinan awam serta pelabur, dan akhirnya memberi kesan negatif kepada prestasi CPI Malaysia.

Katanya, atas sebab itu, untuk membina sebuah negara yang kuat, akar tatakelolanya mestilah kukuh.

Idris berkata, setiap reformasi dasar dan perundangan yang dilaksanakan mestilah berpaksikan prinsip tatakelola baik, iaitu ketelusan (Transparency), memperkukuh kebertanggungjawaban (Reinforce accountability), kecekapan (Efficiency) dan keberkesanan (Effectiveness) atau TREE.

Tambahnya, Malaysia tidak akan mampu melonjak ke hadapan tanpa asas yang kukuh.

"Prinsip TREE bukan sekadar akronim, tetapi harus diletakkan sebagai prinsip asas kerja yang perlu dijadikan budaya dalam perkhidmatan awam kerana ini mesti menjadi tunjang kepada setiap dasar dan reformasi kerajaan," ujarnya.

Jelas Idris, negara-negara di kedudukan teratas dalam CPI seperti Denmark, Finland dan New Zealand konsisten mengamalkan prinsip TREE serta menikmati kemajuan ekonomi hasil pelaburan langsung asing yang berterusan.

"Tatakelola baik menjadi asas utama dalam meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur.

"Negara yang serius dalam menarik modal lestari harus mengutamakan prinsip tatakelola baik kerana hanya pentadbiran kerajaan yang telus, bertanggungjawab, cekap dan berkesan dapat menyediakan persekitaran yang selamat serta menjana ekonomi untuk pelabur, sekali gus memperkukuh ekonomi dan imej negara," ujarnya.