SEPANG – Taktik seorang lelaki menyeludup masuk mata wang asing berjumlah kira-kira RM2.4 juta dengan menyembunyikannya dalam bungkusan pakaian baharu terbongkar menerusi pemeriksaan pengimbas bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Jumaat.
Cubaan itu berjaya dipatahkan dalam operasi pemeriksaan dijalankan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA Terminal 1.
AKPS dalam kenyataan memaklumkan, tangkapan dijalankan antara jam 10.30 pagi hingga 1 tengah hari itu melibatkan seorang lelaki warga asing yang tiba menaiki satu penerbangan antarabangsa.
Menurutnya, pemeriksaan awal melalui mesin pengimbas bagasi mengesan imej mencurigakan sebelum penumpang berkenaan diarahkan ke Pejabat Operasi Kastam untuk pemeriksaan lanjut.
"Hasil pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai mata wang asing disembunyikan dalam bungkusan pakaian baharu.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM2.4 juta melibatkan pelbagai mata wang negara luar,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
AKPS memaklumkan, turut dirampas dalam operasi berkenaan adalah tiga beg bagasi, dua unit telefon bimbit dan sebuah beg jenis pouch.
Menurut kenyataan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 28, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
"Suspek telah ditahan dan diserahkan kepada Bahagian Pencegah Kastam untuk siasatan serta tindakan lanjut.
"AKPS KLIA sentiasa memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara serta membanteras sebarang aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan di pintu masuk negara," katanya.