Nadma perkasa pemantauan, analisis saintifik kawasan diancam gempa bumi

Iklan
Tangkap layar lokasi kejadian gempa bumi pada peta sesar Semenanjung Malaysia dari 24 hingga 30 Ogos lalu. Sumber/ NADMA dan MetMalaysia.

SHAH ALAM - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan terus memperkasakan pemantauan dan analisis saintifik terhadap kawasan yang dijangka menerima ancaman gempa bumi sama ada berpusat dalam negara atau daripada negara jiran.

Ketua Pengarah Nadma, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, hasil pemantauan dan analisis itu akan diterjemahkan sebagai langkah kesiapsiagaan proaktif demi keselamatan rakyat, perlindungan infrastruktur serta pembangunan komuniti khususnya kawasan yang terdedah ancaman gempa bumi.

Iklan
Iklan

“MetMalaysia telah merekodkan satu gempa bumi lemah bersama lima gempa bumi susulan (lemah) di sekitar Segamat, Johor dari 24 hingga 30 Ogos lalu.

“Pada 24 Ogos lalu, 4.1 magnitud dikesan di lima kilometer (km) Barat Segamat jam 6.13 pagi manakala 2.8 magnitud di 28km Barat Laut Kluang jam 9 pagi.

Iklan

“3.2 magnitud dikesan pada 27 Ogos di 18km Selatan Segamat jam 8.59 pagi manakala 28 Ogos, 2.5 magnitud direkodkan di 13km Utara Segamat jam 7.56 malam.

“Selain itu, pada 29 Ogos, gegaran 3.4 magnitud di 22km Timur Laut Segamat jam 4.24 pagi dan 30 Ogos pula, 2.7 magnitud di dua km Barat Laut Segamat jam 7.29 pagi,“ katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Abdul Halim turut memaklumkan, gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang ketika kejadian gempa bumi pada 24 Ogos lepas.

Bagaimanapun, tambahnya, MetMalaysia tidak menerima laporan gegaran yang dirasai di Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang bagi gempa bumi susulan di Johor dari 27 hingga 30 Ogos lalu.

“MetMalaysia menjangkakan kesemua kejadian gempa bumi ini berkemungkinan berlaku di Zon Sesar Mersing di Semenanjung Malaysia. Gegaran yang berlaku di Johor merupakan gempa bumi lemah dan dijangka tidak memberi impak besar.

“Orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan maklumat sahih yang dikeluarkan oleh MetMalaysia serta JMG.

“NDCC yang beroperasi 24 jam setiap hari sentiasa memantau situasi cuaca. Amaran bencana akan disalurkan kepada agensi tindak balas dan pegawai daerah dari semasa ke semasa,“ ujar beliau.

Difahamkan, Nadma bersama MetMalaysia, JMG, Kerajaan Negeri Johor dan Pejabat Daerah Segamat akan menganjurkan program 'Community-Based Disaster Risk Management' (CBDRM) pada 3 September depan di Segamat yang akan melibatkan komuniti serta pemimpin masyarakat setempat.