JAKARTA – Indonesia kini menghadapi tekanan politik apabila bantahan berhubung kenaikan kos sara hidup, elaun ahli Dewan Perwakilan Rakyat, dan keganasan demonstrasi telah menjejaskan keyakinan pelabur di ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.
Pada Isnin, Indeks Komposit Jakarta (JCI) mencatatkan penurunan sebanyak 3.6 peratus, manakala nilai mata wang rupiah turut menyusut kepada 16,500 berbanding dolar Amerika Syarikat — paras terendah dalam sehari sejak 1 Ogos lalu, menurut data LSEG.
Walaupun keganasan dan bantahan menggegarkan keyakinan pelabur, beberapa pemerhati pasaran menjangkakan ia tidak menjejaskan asas pertumbuhan ekonomi Indonesia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pendapatan Tetap Asia di Principal Fixed Income, Howe Chung Wan berkata, penjualan besar-besaran dalam pasaran saham baru-baru ini disebabkan reaksi pelabur terhadap perkembangan politik hujung minggu lalu.
"Indonesia masih tergolong antara pasaran membangun yang lebih stabil," kata Howe yang menganggap demonstrasi sebagai situasi jangka pendek.
“Saya tidak fikir ia mengubah naratif keseluruhan buat masa ini,” tambahnya.
Penganalisis pertukaran asing (FX) di OCBC Bank, Christopher Wong pula menjangkakan tekanan ke atas nilai rupiah adalah bersifat jangka pendek dan mata wang itu dijangka pulih sebaik ketidaktentuan politik domestik reda.
Pelabur kini memberi perhatian kepada langkah-langkah susulan kerajaan dalam menunaikan tuntutan rakyat serta mengembalikan semula keyakinan pasaran, menurut Ketua Penyelidikan Indonesia di Macquarie Capital, Ari Jahja.
“Dari sisi positif, Indonesia boleh muncul lebih kukuh jika pembaharuan struktur dilaksanakan,” tegasnya.
Ahli ekonomi di DBS, Radhika Rao, turut berpandangan bahawa pemacu pertumbuhan jangka panjang negara itu masih kekal utuh.
Menurut beliau, pelabur kini akan meneliti sebarang petunjuk baharu berkaitan keutamaan kerajaan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan.
Katanya, sebahagian daripada pemotongan perbelanjaan Jakarta boleh dialihkan untuk mengurangkan pengangguran.
“Bank Indonesia masih mempunyai ruang luas untuk mengekalkan polisi monetari mesra pertumbuhan, dengan jangkaan bank pusat bertindak pantas bagi menenangkan pasaran dan menyokong rupiah apabila perlu,” katanya.
Data LSEG turut menunjukkan hasil bon kerajaan Indonesia 10 tahun meningkat kepada 6.335 peratus pada Isnin, manakala hasil bon 30 tahun kekal stabil pada 6.850 peratus.
Penganalisis pasaran memberi amaran bahawa saham-saham Indonesia kekal terdedah kepada risiko akibat ketidaktentuan ekonomi domestik dan prestasi bon Amerika Syarikat. - Agensi