Lelaki ditahan selepas anggota badan pasangan ditemukan di lebuh raya

Iklan
Pihak berkuasa Jerman menahan seorang lelaki berusia 41 tahun berhubung kematian pasangannya selepas kedua-dua tangan mangsa yang terputus ditemukan di lebuh raya. Foto AFP

DUSSELDORF - Pihak berkuasa Jerman menahan seorang lelaki berusia 41 tahun berhubung kematian pasangannya, selepas kedua-dua tangan mangsa yang terputus ditemukan di lebuh raya di barat Jerman pada November lalu, lapor agensi berita Jerman, dpa.

Lelaki itu diekstradisi dari Ethiopia, menurut kenyataan bersama polis dan pejabat pendakwa raya di bandar Bonn, barat Jerman pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Penyiasat daripada bahagian homisid dan pejabat pendakwa raya telah ke negara Afrika Timur itu untuk membawa suspek ke Jerman, apabila seorang hakim di Bonn memerintahkan suspek direman pada Jumaat kerana disyaki membunuh.

Kedua-dua tangan mangsa yang terputus ditemukan di lebuh raya berhampiran bandar Olpe di barat Jerman pada pertengahan November.

Iklan

Cap jari mengenal pasti ia milik seorang wanita berusia 32 tahun dari Eritrea yang bersama bayinya didaftarkan di sebuah pusat penempatan pencari suaka berhampiran Bonn.

Bayi berusia tiga bulan itu ditemukan sebelum ini dalam keadaan selamat di hadapan sebuah biara di bandar Waldsolms.

Iklan

Mayat wanita berkenaan kemudiannya ditemukan pada awal Disember di sebuah kawasan hutan berhampiran Koblenz.

Masih tidak jelas lokasi wanita itu dibunuh selepas dia meninggalkan penginapannya di Bonn pada 16 Nov 2025. Kepalanya yang terputus juga masih belum ditemukan. - Bernama-dpa