SPRM bongkar sindiket seludup rokok dan arak, 14 syarikat disiasat

Iklan
SPRM bongkar sindiket penyeludupan rokok dan arak berselindung di sebalik lesen import sah. Foto hiasan

PUTRAJAYA - Kegiatan penyeludupan rokok, tembakau, cerut dan minuman keras dikesan dilakukan secara terancang dengan berselindung di sebalik lesen import sah serta melibatkan ejen penghantar bagi memudahkan kemasukan barang ke negara ini.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, hasil siasatan menerusi Op Sikaro mendapati beberapa syarikat import yang diberi lesen sah menyalahgunakannya dengan membuat pengisytiharan palsu bagi mengelak bayaran cukai sebenar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lebih membimbangkan, kegiatan itu tidak hanya membabitkan syarikat berlesen, sebaliknya turut menggunakan khidmat ejen penghantar (forwarding agents) yang dipercayai beroperasi tanpa lesen sah atau tanpa dokumen lengkap.

“Forwarding agents ini berperanan besar dalam mempermudah proses penipuan dan penyelewengan.

Iklan

"Mereka menjadi orang tengah untuk menguruskan dokumen penghantaran, sekali gus membuka ruang sindiket mengelak kawalan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, siasatan turut mendapati barang-barang yang diseludup disimpan di gudang persendirian sebelum diedarkan ke pasaran gelap.

Iklan

Katanya, sindiket ini dipercayai beroperasi sejak beberapa tahun lalu dengan jumlah kerugian hasil cukai negara mencecah ratusan juta ringgit.

“Setakat ini, siasatan SPRM melibatkan 14 syarikat yang memiliki lesen import sah dan beberapa forwarding agents yang disyaki terbabit.

"SPRM memandang serius kerana kegiatan penyeludupan ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan hasil negara, malah memberi kesan negatif kepada ekonomi dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu rasuah, penyeludupan serta pengubahan wang haram.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya.