Perpaduan asas kukuh bina Malaysia Madani - Saarani

Iklan
Pengunjung mengibarkan Jalur Gemilang pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2025 di Bangunan Bandaran Ipoh hari ini. Foto Bernama

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan bahawa kesejahteraan rakyat hanya dapat dicapai sekiranya disokong oleh dasar sosial dan ekonomi yang menyeluruh serta berpaksikan semangat perpaduan dalam kepelbagaian.

Beliau berkata, golongan rentan perlu diberi perhatian agar tidak berasa terpinggir, manakala usahawan kecil wajar diperkasa supaya mampu berdikari dengan sokongan bantuan yang adil serta sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Iklan
Iklan

"Dalam kepelbagaian budaya dan agama, Malaysia meraih kekuatan daripada semangat kebersamaan.

"Rakyat disantuni juga bermaksud rakyat disatukan, didengar suaranya, dibela nasibnya dan diberi ruang untuk sama-sama merasai nikmat pembangunan.

Iklan

"Inilah wajah sebenar sebuah Malaysia Madani, di mana perpaduan bukan hanya slogan, tetapi nadi yang menggerakkan bangsa menuju masa depan lebih gemilang," katanya ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Penyampaian Hadiah Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2025 di Dewan Bandaran Ipoh di sini pada Ahad.

Menurut Saarani, sejarah membuktikan kekuatan negara bertahan kerana ikatan perpaduan yang kukuh, dan keadaan itu akan goyah sekiranya hubungan antara masyarakat terlerai terutama ketika berdepan cabaran baharu.

Iklan

"Benteng jati diri bangsa tidak boleh longgar dan rapuh. Isu sosial yang lahir daripada fitnah, prasangka, dan kebencian hanya mampu diredakan apabila asas pembinaan jati diri ditegakkan semula," katanya.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Perak di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Sambutan yang dihadiri hampir 50,000 orang itu bermula dengan perarakan masuk kawalan kehormatan utama dari Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Division dengan iringan pasukan pancaragam KD Pelanduk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sultan Nazrin kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.

Acara sambutan diteruskan dengan Lafaz Ikrar Rukun Negara oleh 16 pelajar daripada Kolej Tingkatan Enam Pra Universiti Sri Putra, Ipoh diketuai Muhamad Irfan Irwan.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan koir gabungan tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet, SMJK Ave Maria Convent dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist dengan nyanyian lagu tema Hari Kebangsaan tahun ini Malaysia Madani Rakyat Disantuni, Tanggal 31 Ogos dan Jalur Gemilang.

Majlis sambutan itu turut dimeriahkan dengan persembahan muzikal Kisah Ain menceritakan keyakinan seorang murid Tahun Enam bahawa ilmu adalah jambatan menuju masa depan.

Majlis diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan 111 kontinjen yang disertai lebih 5,891 peserta terdiri pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam, badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Turut dipersembahkan perarakan kenderaan dan aset-aset antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).