KUALA LUMPUR - Peguam mewakili keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, Datuk Naran Singh Ara Singh menyerahkan petunjuk baharu mengandungi pendedahan seorang individu berhubung kematian pelatih kadet Pasukan Pegawai Simpanan (Palapes) itu.
Naran menyerahkan dokumen, rakaman audio dan transkrip kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Fazley Ab Rahman di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur pada Sabtu.
Menurutnya, petunjuk itu termasuk satu set gambar memaparkan keadaan Syamsul Haris sebelum hari kejadian (27 Julai) serta keadaan jenazah terkini di bilik mayat.
“Kita turut menyerahkan dokumen berhubung apa yang berlaku di Mahkamah Shah Alam ketika permohonan bedah siasat kedua, serta pemacu kilat (USB) mengandungi rakaman audio ‘individu A’ yang mendakwa berada di tempat kejadian.
“Individu A itu menceritakan apa yang berlaku di lokasi sehingga kematian (Syamsul Haris) dan turut menamakan individu-individu yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Hospital Kuala Lumpur pada Sabtu.
Naran berkata, transkrip rakaman USB setebal 44 muka surat juga telah diserahkan kepada polis.
“Maklumat itu dianggap sebagai petunjuk penting yang boleh membantu pihak polis dalam siasatan.
“Identiti ‘individu A’ dirahsiakan atas faktor keselamatan. Rakaman itu dibuat oleh individu lain yang merekodkan pengakuan berhubung insiden berkenaan,” jelasnya.
Beliau berkata, proses bedah siasat yang bermula jam 9 pagi masih berjalan.
“Pengebumian dijangka berlangsung pada sebelah petang atau malam ini selepas proses bedah siasat selesai,” katanya.
Pada Jumaat, media melaporkan jasad Syamsul Haris, 22, digali semula susulan perintah mahkamah yang membenarkan bedah siasat kedua dilakukan.
Proses penggalian semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu bermula pada jam 8.45 pagi dan selesai pada jam 9.22 pagi sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.