'Cukup anak saya jadi korban' - Bapa Affan Kurniawan nasihat jangan burukkan lagi keadaan

Iklan
Zulkifli

JAKARTA - Zulkifli, ayah kepada Allahyarham Affan Kurniawan, pengemudi ojek online yang maut dilanggar kenderaan taktis Brimob semasa demonstrasi di Jakarta, tampil menyeru semua pihak agar menahan diri dan tidak memperburuk keadaan.

Dalam kenyataan penuh emosi, beliau meminta agar kematian anaknya tidak dijadikan alasan untuk tindakan anarkis, lapor Kompas.

Iklan
Iklan

“Cukup anak saya yang menjadi korban,” kata Zulkifli ketika ditemui di Balai Warga, Menteng, Jakarta Pusat.

Beliau menyatakan telah menyerahkan sepenuhnya proses keadilan kepada pihak berkuasa dan berharap masyarakat tidak terbawa emosi.

Iklan

“Saya mohon jangan sampai ada lagi kejadian seperti anak saya,” tambahnya.

Zulkifli turut mengajak para mahasiswa dan rakyat dari seluruh Indonesia agar mempercayakan penyelesaian kes kepada pihak polis.

Iklan

Beliau menegaskan bahawa proses undang-undang harus berjalan secara adil dan telus, serta menuntut agar anggota yang bertindak anarkis dikenakan hukuman setimpal.

Affan Kurniawan dilaporkan maut selepas dilanggar dan digilis kenderaan Brimob di Jalan Penjernihan, Jakarta Pusat pada Khamis lalu.

Kejadian itu dirakam dan tersebar luas di media sosial, mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan pengemudi ojek dan masyarakat awam.

Susulan insiden tersebut, tujuh anggota Brimob telah ditahan dan Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo telah menemui keluarga mangsa untuk menyampaikan permohonan maaf rasmi.

“Saya masih percaya kepada polisi, tidak semuanya anarkis,” ujar Zulkifli, sambil menyatakan harapan agar ada kesungguhan dan keikhlasan daripada pihak berkuasa untuk menyiasat sepenuhnya kes ini.

Beliau menegaskan bahawa tuntutannya hanyalah satu: keadilan untuk anaknya. - Awani