MENYINGKAP sejarah keilmuan Islam, nama Imam As-Suyuti akan sentiasa disebut dalam bidang al-Quran.
Antara sumbangan agungnya adalah penghasilan Tafsir al-Jalalayn, karya bersama gurunya, Jalaluddin Al-Mahalli. Tafsir itu terkenal dengan gaya penulisannya yang ringkas, mudah difahami dan hanya terdiri daripada satu jilid.
“Dua pengarang Al-Jalalayn itu sengaja meringkaskan, memperkemas dan mempermudah isi kandungannya demi mengekalkan tujuan utama mereka iaitu untuk menjadikan makna literal al-Quran dapat difahami sepenuhnya dengan cara paling mudah.
Selain itu, Imam As-Suyuti turut menghasilkan karya besar Al-Itqan fi Ulum Al-Quran yang digelar sebagai ‘ensiklopedia besar’ kerana menghimpunkan lebih 80 cabang ilmu al-Quran.
Menurut portal Nursyamcentre.com, kitab itu berjaya mengumpulkan pelbagai cabang ilmu al-Quran yang sebelumnya bertebaran dalam karya ulama terdahulu.
“Oleh sebab itu, tidak berlebihan apabila Az-Zarqani menyarankan bahawa kitab Al-Itqan fi Ulum Al-Quran itu adalah pedoman utama para peneliti dan penulis dalam disiplin ilmu al-Quran dan tafsir,” kata laporan berkenaan.
Belajar dengan 150 guru
Tidak lengkap mengagumi sumbangannya tanpa mengenali figura hebat itu lebih dekat.
Pemilik nama penuh Jalaluddin As-Suyuti itu dilahirkan di Kaherah, Mesir pada tahun 1445 Masihi.
Menjejaki salasilahnya, Imam As-Suyuti dibesarkan dalam keluarga beragama. Bapanya seorang pakar fiqh Mazhab Syafie dan pernah mengajar di masjid di Kaherah. Namun, ketika usianya sekitar lima ke enam tahun, beliau kehilangan ayah tercinta.
Kesusahan hidup tidak mematahkan semangatnya menuntut ilmu. Bahkan, pada usia lapan tahun, beliau sudah menghafaz al-Quran sepenuhnya.
“Bukan itu sahaja, sejumlah kitab-kitab fiqh juga dihafalnya antaranya termasuklah Al-Umdah, Minhaaj al-Fiqh wal ushul dan Alfiyyah Ibnu Malik,” kata portal khazanah.republika.co.id.
Antara gurunya ialah Syeikh Al-Islam Siraj Ad-Din Al-Bulqini dan Syeikh Al-Islam Sharaf Ad-Din Al-Munawi.
“Dalam menuntut ilmu, Imam As-Suyuti mengembara ke Damsyik, Hijaz, Yemen, India dan Maghribi serta ke pusat-pusat pengajian di Mesir seperti Mahalla, Dumyat dan Fayoum,” tulis portal itu.
Maka, tidak hairanlah apabila usianya menginjak 18 tahun, beliau sudah mula mengajar. Dalam riwayat lain, Imam As-Suyuti dikatakan mengajar sekitar umur 20-an di Masjid Amr Ibn As du Fustat, salah satu pusat ilmu paling berprestij ketika itu.
Keupayaan beliau menguasai pelbagai bidang seperti tafsir, hadis, fiqh dan bahasa Arab menjadikan namanya semakin dikenali.
Menyepi daripada masyarakat
Keilmuan Imam As-Suyuti mengangkatnya sebagai ketua guru hadis di Madrasah Syaikhuniyyah di Kaherah, malah beliau turut dilantik sebagai syeikh di sebuah pondok sufi.
Namun, kedudukannya itu menimbulkan rasa cemburu segelintir pihak sehingga beliau mengambil keputusan untuk menyepi daripada dunia pengajaran.
“Menurut Ibnu Iyas dalam kitabnya, Tarikh Misr, ketika As-Suyuti berusia 40 tahun, beliau meninggalkan pergaulan manusia dan memilih untuk bersendirian di kebun Al-Miqyas berhampiran Sungai Nil. Ketika inilah beliau menghasilkan sebahagian besar daripada lebih 600 buah kitab dan risalahnya,” lapor laman web wikipedia.org.
Walaupun sering didatangi pemerintah dengan hadiah dan wang, beliau menolaknya dengan penuh berhemah.
Portal Republika turut menggambarkan peribadinya: “Orang yang pernah dekat dengan As-Suyuti semasa hidupnya mengenal sosok ulama Mesir ini sebagai memiliki keperibadian yang sederhana, baik hati, soleh, takut kepada ALLAH, puas dengan rezeki yang telah diterima dan profesionnya sebagai guru.”
Meskipun jasadnya sudah tiada, nama Imam As-Suyuti terus harum sebagai lambang kegigihan, keilmuan dan ketokohan Islam sepanjang zaman.
PROFIL
Nama penuh: Jalaluddin As-Suyuti
Gelaran: Shaykhul Islam, Ibnul Kutub dan Ensiklopedia Ilmu Islam Hidup
Asal: Kaherah, Mesir
Kepakaran: Tafsir, hadis, fiqh Syafie, nahu, sejarah, balaghah dan perubatan
Tahun kelahiran: 1445 Masihi (849 Hijrah)
Tahun kematian: 1505 Masihi (911 Hijrah)
Sumbangan:
- Lebih 600 karya dalam pelbagai bidang ilmu Islam.
- Himpunkan sebab-sebab turunnya ayat al-Quran dalam karyanya untuk memudahkan kefahaman konteks ayat.
Karya agung: Ad-Durr Al-Manthur, Al-Jami‘ Al-Saghir dan Al-Itqan fi Ulum Al-Quran
*Foto: Sifatusafwa.com, Sidogiri.net, Imamghazali.org, Tafsirquran.id, Bincangsyariah.com, Cirebonraya.com & Kompasiana.com