TEL AVIV - Situasi keselamatan di rantau Asia Barat semakin tidak menentu selepas Israel memberi bayangan ia kini memperluaskan operasi ketenteraan di Syria selepas ia melancarkan serangan ke atas ibu kota Yemen pada awal minggu lalu.
Kebimbangan semakin meningkat setelah Menteri Pertahanan, Israel Katz menerusi catatan di media sosial pada Khamis mendakwa askar mereka sedang bersiap siaga di kesemua zon tempur.
Kenyataan yang mengundang persoalan kepada banyak pihak itu dibuat setelah laporan media di Damsyik mendedahkan helikopter komando Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menggempur barat daya negara tersebut.
“Anggota tentera kami bersedia di kesemua kedudukan barisan hadapan demi keselamatan Tel Aviv,” menurut perkongsian Katz, namun tidak memberikan butiran jelas.
Tetapi, sumber tentera Syria mengesan kehadiran pasukan IDF yang mendarat di puncak bukit strategik Jabal Manea di ibu kota dan melakukan operasi rahsia selama dua jam sebelum meninggalkan kawasan tersebut.
Difahamkan, Jabal Manea pernah menjadi pangkalan udara utama dikendalikan Iran sebelum kejatuhan rejim bekas Presiden, Bashar al-Assad.
Selain itu, unit infantri IDF dilaporkan mula menggempur lokasi berhampiran Kisweh di luar Damsyik yang telah dibedil sebanyak dua kali sejak Selasa hingga meragut enam nyawa askar Syria.
Sumber di Damsyik mendakwa tentera Zionis mendakwa kononnya ia menemui alat pengawasan dan curi dengar di kawasan tersebut yang sebelum ini menjadi pangkalan tentera di Tal Maneh.
Sementara itu, Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) mendakwa pencerobohan itu mungkin ada kaitan dengan penemuan depot senjata pejuang Hizbullah di lokasi tersebut.
“Serbuan darat itu merupakan operasi pertama sejak penggulingan al-Assad pada Disember lalu,” ujarnya lagi. - AFP