Johor yakin capai sifar jalan berlubang dengan jentera baharu - Exco

Iklan
Mohamad Fazli (tiga kiri) menunjukkan teknologi baharu JCB Pothole Pro di Iskandar Puteri pada Khamis.

ISKANDAR PUTERI - Johor menjadi yang pertama di Asia Pasifik yang menggunakan teknologi baharu JCB Pothole Pro yang mendapat membaiki jalan berlubang dengan cepat berbanding kaedah lama.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, dua jentera bernilai RM3.2 juta seunit itu dibeli syarikat konsesi jalan, Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd, dan mampu mempercepatkan serta meningkatkan kualiti kerja penampalan jalan.

Iklan
Iklan

“Jentera ini empat kali ganda lebih pantas berbanding kaedah manual, malah kualiti tampalan lebih tahan sehingga 90 peratus.

"Ia juga mengurangkan penggunaan tenaga kerja, jentera tambahan serta tempoh penutupan trafik,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inovasi Pembaikan Jalan di Persiaran Laksamana, Kota Iskandar di sini, pada Khamis.

Jelas Mohamad Fazli, dua jentera itu akan digunakan di jalan negeri dan kampung sekitar Johor Bahru terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke seluruh negeri.

Iklan

Katanya, penggunaan teknologi berasaskan inovasi dari United Kingdom itu menyokong hasrat kerajaan negeri untuk mencapai sifar jalan berlubang sepanjang masa, meskipun berdepan faktor semula jadi seperti hujan, paip pecah dan mata air bawah tanah.

“Dengan adanya teknologi baharu ini, kita yakin aspirasi sifar jalan berlubang dapat dicapai. Malah, kita berharap inisiatif ini dapat dikembangkan kepada syarikat konsesi jalan lain,” katanya.

Beliau turut menegaskan, kerajaan negeri kekal dengan sasaran zero pothole sepanjang masa walaupun kerosakan jalan sering berulang akibat faktor cuaca, banjir dan kerosakan infrastruktur bawah tanah.

“Sejak tahun lepas kita letakkan sasaran zero pothole. Sebab itu kita perlukan teknologi baharu untuk menyokong aspirasi ini,” katanya.

Tambahnya, teknologi berkenaan mendokong keperluan asas bagi merealisasikan pembangunan Zon Ekonomi Istimewa Johor-Singapura (JS-SEZ) yang memerlukan infrastruktur jalan raya berprestasi tinggi bagi menyokong mobiliti ekonomi dan pelaburan.