Hargai darah, keringat perajurit kita

Iklan
Kekuatan ketenteraan kita perlu diperkukuh dengan aset moden, bukan sekadar bergantung kepada peralatan legasi yang semakin uzur. Gambar hiasan

BULAN Ogos sangat istimewa buat rakyat Malaysia kerana ia bukan sahaja berkisar tentang kemerdekaan, tapi turut mengingatkan kita kepada pengorbanan pejuang terdahulu dalam mempertahankan tanah air.

Kemerdekaan yang dinikmati hari ini bukan datang bergolek, sebaliknya dibayar dengan darah, keringat dan nyawa para pejuang yang tidak pernah gentar mempertahankan tanah air.

Iklan
Iklan

Seiring dengan perkembangan semasa dan teknologi, kita harus akui bahawa perjuangan mempertahankan kedaulatan negara tidak mungkin berjaya tanpa kelengkapan tempur yang memadai.

Justeru, mahu atau tidak, bagi memastikan keselamatan perajurit kita di medan operasi, kekuatan ketenteraan kita perlu diperkukuh dengan aset moden, bukan sekadar bergantung kepada peralatan legasi yang semakin uzur.

Iklan

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 22 Oktober 2024, pernah mendedahkan bahawa jumlah aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melebihi 30 tahun secara keseluruhannya adalah 171 merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan.

Menurutnya, jumlah itu membabitkan 108 unit bagi tentera darat, 29 unit Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan 34 unit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Iklan

Realiti semasa ini menunjukkan ATM berdepan masalah besar kerana sebahagian besar aset yang ada telah berusia lebih tiga dekad, sekali gus boleh mengehadkan operasi, malah boleh menjejaskan keselamatan anggota.

Masalah itu turut mendapat perhatian pemimpin utama negara apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 16 Ogos lalu memberi peringatan bahawa isu perolehan pertahanan tidak boleh lagi dilihat sebagai perkara remeh.

Baginda menegaskan Kementerian Pertahanan (Mindef) supaya membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang sudah berusia lebih 30 tahun.

Isu helikopter Black Hawk mencerminkan dilema panjang Mindef sehingga akhirnya pada November 2024, kontrak sewaan empat helikopter jenis itu dibatalkan dan pada 4 Ogos 2025, Mindef mengumumkan tender baharu bagi penyewaan empat helikopter untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai projek di paras RM200 juta untuk tempoh lima tahun.

Di pihak pembangkang, Ketua Portfolio Pertahanan PN, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menyifatkan tindakan Mindef membuka tender semula sebagai langkah tepat.

Hakikatnya, masalah aset lama bukan terhad kepada helikopter kerana Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan pada Julai lalu mengakui pihaknya masih berdepan cabaran kerana banyak aset yang diuruskan adalah legasi.

Justeru, pelan pembangunan keupayaan strategik tentera darat (Army 4NextG) dan hala tuju Angkatan Masa Hadapan (Future Force) ATM menjadi panduan untuk menentukan keutamaan perolehan.

Pada 16 Januari 2025, Mohamed Khaled berkata, sebanyak RM12 bilion diperuntukkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi tujuan perolehan aset dan kelengkapan untuk mempertingkatkan keupayaan pertahanan negara pada 2025.

Menurutnya, antara perolehan aset utama yang telah diluluskan pada tahun ini adalah meriam 105 milimeter Pack-Howitzer untuk Tentera Darat.

Pihaknya turut memastikan perkembangan dan kemajuan pembinaan aset-aset penting mencapai kemajuan yang dijadualkan.

Pada 3 Julai lalu pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berhasrat membeli pesawat pemantau maritim, helikopter dan kapal laut daripada Itali bagi memperkukuh keselamatan negara.

Jelasnya, pembelian itu akan meliputi dua pesawat pemantau maritim (Maritime Patrol Aircraft) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia selain 28 helikopter Leonardo AW149.

Beliau berkata, syarikat Fincantieri pula dijangka membekalkan kapal sokongan logistik pelbagai peranan (Multi-Role Support Ship) (MRSS) dan kapal peronda pesisir pantai (Littoral Mission Ship) (LMS).

Kesemua perkembangan ini jelas memperlihatkan cabaran besar yang sedang dihadapi pertahanan negara.

Kerajaan perlu memastikan bahawa setiap sen peruntukan pertahanan dimanfaatkan sepenuhnya dengan memberi keutamaan kepada usaha pemodenan aset dan peningkatan kekuatan ketenteraan, demi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara.

*Farah Shazwani Ali ialah Wartawan Nasional Sinar Harian