KOTA BHARU – Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan menyampaikan 100 kerusi roda khas yang diubah suai bernilai RM340,000 kepada orang kurang upaya (OKU) fizikal di negeri ini.
Kerusi roda itu dimodifikasi hasil sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melalui Pusat Transformasi OKU Universiti Sains Malaysia-Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (USM-MAIK).
Turut disampaikan sijil tamat latihan kepada 50 OKU intelek yang berjaya menamatkan Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek (VT@USM) hasil tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Seramai 250 lagi golongan asnaf termasuk pesakit kronik menerima sumbangan berjumlah RM125,000 daripada Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kelantan turut disampaikan Tengku Muhammad Fakhry.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr Shaiful Bahari Ismail berkata, universiti itu komited untuk terus memperkasa komuniti OKU melalui Pusat Transformasi OKU USM-MAIK.
“Pusat Transformasi USM-MAIK ditubuhkan pada tahun 2018 hasil sumbangan hampir RM1 juta daripada MAIK melalui Dana Wang Ehsan Negeri Kelantan.
“Pada 2024, MAIK sekali lagi menzahirkan keprihatinan dengan menyumbang RM340,000 bagi melaksanakan Program Penilaian, Pendidikan dan Modifikasi Kerusi Roda untuk Golongan OKU Asnaf Kelantan yang memberi manfaat kepada lebih 100 OKU di seluruh Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed pada Majlis Pengurniaan Kerusi Roda, Sijil Tamat Latihan dan Sumbangan kepada OKU Asnaf Negeri Kelantan bagi tahun 2025 di Kampus Kesihatan USM di sini pada Rabu.
Dr Shaiful Bahari berkata, USM sentiasa teguh dengan misinya sebagai sebuah universiti penyelidikan dan pendidikan terunggul sejajar dengan visi untuk memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar termasuk golongan OKU.
“Usaha mengubah suai kerusi roda OKU mengikut kesesuaian mereka ini dilakukan bagi memberi kemudahan pergerakan termasuk melancarkan urusan kerja kepada golongan itu.
“VT@USM pula membuktikan bahawa golongan OKU mampu menyumbang kepada produktiviti negara sekiranya diberi latihan dan kemahiran yang bersesuaian dengan keadaan mereka,” katanya.