Empat lelaki ditahan curi balak Gua Musang

Iklan
Kayu balak yang dimuatkan dalam sebuah lori - Gambar kecil (Ahmad Radzi)

Rampasan balak, jentera berat dan peralatan memotong kayu cecah RM1.59 Juta

GUA MUSANG – Empat lelaki ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Bersepadu Khazanah selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pembalakan haram dan mencuri balak di kawasan Ladang Serasa, Paloh pada Ahad.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan dilakukan oleh anggota Risik Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Kelantan hasil risikan serta maklumat awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam serbuan pertama pada jam 8.30 malam, pihaknya menahan sebuah lori Isuzu berwarna kelabu yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun dalam keadaan mencurigakan di kawasan ladang getah.

“Hasil pemeriksaan menemukan enam batang kayu balak disyaki kayu meranti di bahagian belakang lori tersebut.

Iklan

“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pemindahan yang sah daripada Jabatan Perhutanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, nilai rampasan bagi serbuan pertama itu dianggarkan RM140,000, membabitkan sebuah lori dan kayu balak yang dipercayai ditebang secara haram.

Iklan

Dalam serbuan kedua kira-kira dua jam kemudian, Ahmad Radzi berkata, tiga lagi lelaki ditahan selepas anggota PGA mengesan sebuah jentera berat sedang mengheret kayu balak menggunakan tali besi, manakala dua individu lain mengekori jentera berkenaan, dengan salah seorang daripadanya membawa mesin gergaji rantai.

“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan tujuh batang kayu balak, sebuah lori Isuzu, sebuah jengkaut dan sebuah jentolak.

“Selain itu, sebuah gergaji rantai yang dipercayai digunakan untuk aktiviti menebang dan mengangkut hasil hutan tanpa lesen turut ditemukan,” katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan bagi serbuan kedua itu dianggarkan RM1.45 juta, menjadikan jumlah rampasan keseluruhan bagi kedua-dua operasi mencecah RM1.59 juta.

“Kesemua suspek berusia antara 32 hingga 48 tahun dan hasil ujian saringan air kencing didapati negatif, selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Mereka dipercayai baru terlibat dalam kegiatan pembalakan haram sejak kira-kira tiga bulan lalu,” ujarnya.

Tambah beliau, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Kota Bharu untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

“Pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti pembalakan haram serta memastikan khazanah hutan negara terus dilindungi,” katanya.