Tiada rekod roboh rumah ibadat di Kelantan

Iklan
Hampir 100 buah tokong wujud di seluruh Kelantan termasuk Tokong Swee Nyet Keung (Tokong Mek) di Gua Musang yang berusia lebih 600 tahun. Foto fail Bernama

KOTA BHARU - Tiada rekod perobohan rumah ibadat agama lain di negeri ini setakat ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Kelantan, Hilmi Abdullah menjelaskan, sejarah negeri tersebut menunjukkan rumah ibadat bukan Islam, termasuk tokong, kuil serta gereja berdiri dengan aman tanpa sebarang isu.

Iklan
Iklan

“Tokong terbesar di Tumpat berdiri dengan megah, begitu juga kuil Hindu di tengah bandar dan gereja berhadapan Pusat Pentadbiran Negeri Kota Darulnaim.

Hilmi Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid

Iklan

“Kesemua ini tidak menimbulkan sebarang masalah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk bertindak ke atas rumah ibadat termasuk kuil yang dibina di tapak tidak sah.

Iklan

Hilmi memberitahu, hampir 100 buah tokong wujud di seluruh negeri ini termasuk Tokong Swee Nyet Keung (Tokong Mek) di Gua Musang yang berusia lebih 600 tahun.

Katanya, bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini pernah memberi geran tanah untuk Tokong Merah Yit Sing Kong di Bandar Kuala Krai dan mengganti Kuil Hindu Maha Mariamman di Bandar Guchil di daerah sama apabila kuil asal terlibat dalam pembangunan sekolah.

“Sejak 2017, kerajaan negeri memulakan langkah mewartakan tapak rumah ibadat, termasuk 16 tapak Wat Siam yang berjaya diwartakan setakat 2014.

“Walaupun jumlah penganut bukan Islam kurang daripada tiga peratus, hak mereka tetap dijaga,” katanya.

Hilmi menegaskan, kerajaan negeri itu terus mengekalkan prinsip toleransi serta hormat-menghormati dalam amalan beragama.