KOTA BHARU - Polis Kelantan menjangkakan hampir satu juta kenderaan memasuki negeri ini sempena cuti Tahun Baharu Cina dan sambutan awal Ramadan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jangkaan itu berpandukan kepada tempoh cuti panjang melibatkan kedua-dua sambutan tersebut.
"Sudah menjadi trend anak Kelantan yang bekerja di perantauan pulang untuk menyambut awal Ramadan dan seterusnya berpuasa bersama keluarga di kampung.
"Kami jangkakan peningkatan kemasukan kenderaan susulan cuti Tahun Baharu Cina serentak dengan awal Ramadan," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum itu, beliau merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff memberitahu, Polis Kelantan akan melancarkan Ops Selamat bermula 15 hingga 20 Februari bagi memastikan perjalanan trafik berjalan lancar.
Ujarnya, tumpuan akan diberikan di kawasan 'hot spot' sekitar Gua Musang.
"Kami juga akan menempatkan lebih ramai anggota bagi melancarkan aliran trafik sepanjang tempoh tersebut.
"Pada masa sama, kita sudah mengenal pasti titik-titik panas kawasan kemalangan," katanya.