PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa keutamaan diberikan terhadap keselamatan pelajar terlebih dahulu sebelum memaklumkan kepada keluarga dalam situasi kecemasan.
Penjelasan itu susulan dakwaan waris seorang pelajar Tingkatan Tiga yang terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah harian di Sabak Bernam, Selangor awal pagi Isnin bahawa keluarga lewat dimaklumkan oleh pihak sekolah.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, ambulans tiba di sekolah sekitar jam 3.20 pagi sebelum membawa pelajar terbabit ke Hospital Sabak Bernam pada jam 3.41 pagi.
“Apabila tiba di hospital, barulah pihak sekolah memaklumkan perkara tersebut kepada ibu bapa.
“Kita kena faham, dalam keadaan kecemasan, tumpuan diberikan pada keselamatan pelajar dahulu.
“Mungkin ada pihak melihat ia sebagai kelewatan, namun dari sudut lain ia adalah kebijaksanaan kerana fokus utama ialah menyelamatkan pelajar,” katanya pada sidang akhbar di KPM di sini.
Pelajar terbabit, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, 15, dilaporkan dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah berkenaan.
Bapa saudara mangsa, Muhammad Aidil Mansor, mendakwa keluarga hanya dimaklumkan pada jam 4 pagi sedangkan kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi.
Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata prosedur di semua asrama KPM menetapkan lampu ditutup pada jam 10 malam dan tiada aktiviti dibenarkan selepas waktu tersebut kecuali program rasmi yang disertai guru.
“Sepatutnya selepas jam 10.30 malam, elektrik ditutup dan tidak ada lagi aktiviti kerana seawal jam 5.30 pagi pelajar beragama Islam akan dikejutkan untuk bersedia menunaikan solat Subuh berjemaah,” katanya.
Menurut beliau, siasatan dalaman KPM termasuk penempatan sementara pengetua, penolong kanan Hal Ehwal Murid dan semua warden di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan dibuat bagi meneliti pematuhan garis panduan Sekolah Selamat, pengendalian buli serta aspek keselamatan asrama.
“Kita akan buat siasatan, kita tengok apa maklumat-maklumat itu, apa sebenarnya berlaku,” ujarnya.
Ditanya mengenai kewujudan kamera litar tertutup (CCTV) di asrama berkenaan, beliau berkata, belum dapat mengesahkannya.
“Yang ini saya minta maaf, saya tidak dapat pastikan kerana belum menerima maklumat lanjut mengenai CCTV itu,” katanya.
Pada masa sama, KPM menghantar pasukan kaunselor untuk memberikan sokongan psikososial kepada guru dan rakan-rakan mangsa, manakala pihak sekolah turut mengadakan bacaan Yasin serta solat hajat.
Terdahulu, Mohd Azam memaklumkan bahawa beliau menziarahi mangsa dan bertemu ahli keluarga di Hospital Sungai Buloh bagi merakamkan takziah serta doa daripada seluruh warga kementerian.
“Tadi saya datang tengok keadaan pelajar, kemudian berjumpa ibu bapa untuk menzahirkan rasa simpati kita, memberikan sokongan moral kepada ibu bapa serta guru sekolah,” katanya.