Wanita maut kereta dinaiki bersama empat ahli keluarga terbabas

Iklan
Keadaan kereta dinaiki terlibat kemalangan. Foto JBPM Perak

LENGGONG – [DIKEMAS KINI] Seorang wanita maut selepas kereta dinaiki bersama empat ahli keluarga lain  terbabas dalam kemalangan di Kilometer 32.4, Jalan Kuala Kangsar–Gerik–Pengkalan Hulu, berhampiran stesen minyak Petronas Lenggong awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.56 pagi itu, mangsa, Damia Aziati Ruslan, 34, merupakan penumpang belakang kenderaan berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.56 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza yang dipercayai terbabas sendiri.

Iklan

"Seramai lima mangsa terlibat dalam kemalangan ini iaitu tiga wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

"Seorang mangsa wanita didapati tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala empat mangsa lain mengalami cedera ringan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Anggota dari BBP Lenggong mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian kemalangan di Kilometer 32.4, Jalan Kuala Kangsar–Gerik–Pengkalan Hulu, berhampiran stesen minyak Petronas Lenggong awal pagi Selasa.

Sabarodzi berkata, pasukan bomba menggunakan peralatan khas hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas melakukan penilaian awal dan mengaplikasikan konsep Saver.

Katanya, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut manakala mangsa meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, operasi menyelamat melibatkan tujuh anggota bomba dengan bantuan tiga anggota polis dan tiga petugas KKM serta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).

Operasi terkawal sepenuhnya pada jam 4.45 pagi dan ditamatkan pada jam 5.03 pagi.