Dua maut rumah teres terbakar di Skudai

Iklan
Kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan pada jam 5.51 pagi. Foto: JBPM Johor

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki dan seorang wanita maut dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Damai Jaya, Skudai di sini pada Selasa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Kamal Shaari berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 5 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 13 anggota, dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux, dikejarkan ke lokasi kejadian.

Seorang lelaki dan seorang wanita maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Damai Jaya, Skudai pada Selasa. Foto: JBPM Johor

Iklan

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis teres kekal dua tingkat dengan kemusnahan dianggarkan 40 peratus.

“Kebakaran dipercayai berlaku di ruang tamu di tingkat bawah rumah. Semasa operasi pemadaman dan pemeriksaan dijalankan, dua mangsa ditemui di tingkat atas dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mohamad Kamal berkata, mangsa yang terkorban ialah seorang lelaki berusia 22 tahun dan seorang wanita berusia 21 tahun.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan pada jam 5.51 pagi.

Tambah beliau, punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan, manakala mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.