KUANTAN - Bimbang namanya terpalit dengan aktiviti jenayah, seorang guru wanita membuat pinjaman bank selepas nombor telefon miliknya didakwa terlibat dalam penyebaran maklumat palsu dan kegiatan pengubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, guru tersebut berbuat demikian selepas diarahkan individu menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis.
Menurutnya, ia bagi membuktikan kemampuan kewangan wanita berkenaannya kononnya untuk tujuan siasatan.
Susulan itu katanya, mangsa yang berusia 38 tahun telah membuat pinjaman RM265,000 dari sebuah bank di sini pada 25 Jun lalu.
Menurutnya, mangsa menyedari ditipu apabila semakan mendapati wang dalam akaun miliknya dipindahkan melalui 21 transaksi ke akaun bank pihak ketiga tanpa pengetahuan.
"Akibat kejadian ini mangsa mendakwa dirinya mengalami kerugian hampir RM200,000," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Ashari berkata, kejadian malang itu bermula selepas wanita tersebut menerima panggilan telefon daripada individu dipercayai menyamar sebagai pegawai SKMM, Jun lalu.
Katanya, melalui panggilan itu, mangsa diberitahu dirinya dikehendaki pihak berkuasa kerana nombor telefonnya dikatakan terlibat dalam penyebaran maklumat palsu dan pengubahan wang haram.
"Suspek memperdaya mangsa supaya membuat pinjaman bank bagi membuktikan kemampuan kewangannya sehingga guru wanita ini terpaksa berbuat demikian sebelum wang tersebut dimasukkan ke sebuah akaun bank miliknya.
"Mangsa kemudiannya diarah menyerahkan butiran penuh akaun bank itu kepada pihak sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis dan Bank Negara Malaysia (BNM)," jelasnya.
Ashari berkata, curiga dengan perkara tersebut mangsa kemudiannya membuat semakan dengan bank sebelum mendapati wang dalam akaun bank miliknya dipindahkan pihak tidak dikenali tanpa pengetahuan dalam tempoh 2 hingga 3 Julai lalu.
"Mengesyaki dirinya telah ditipu, mangsa kemudiannya hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Isnin.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai kerajaan atau pihak berkuasa.
"Masyarakat juga diingatkan agar tidak memberikan maklumat perbankan peribadi kepada mana-mana pihak," ujarnya.