PONTIAN – Polis membuka kertas siasatan berhubung pemasangan bendera Johor dalam keadaan terbalik di sebuah premis pasar mini di Jalan Abu Bakar Majid, Pekan Nanas, yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.
“Siasatan awal mendapati pemasangan bendera tersebut dilakukan tanpa niat untuk menghina atau tidak menghormati lambang kebesaran negeri Johor.
“Sebaliknya, ia berpunca daripada kecuaian pihak pemasang. Pemilik premis juga telah tampil memberikan kerjasama sepenuhnya dan tindakan segera diambil bagi membetulkan kedudukan bendera,” katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.
Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen Akta Lambang dan Nama (Kawalan Mempamer) 1949 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Dalam pada itu, polis menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum serta mengganggu ketenteraman awam.
Mohammad Shofee turut menegaskan pemasangan Jalur Gemilang dan bendera negeri hendaklah sentiasa mematuhi tatacara yang betul sebagai tanda penghormatan kepada kedaulatan negara dan negeri.
“Orang ramai dinasihatkan lebih peka serta memastikan pemasangan bendera dilakukan dengan betul, terutama sempena bulan kemerdekaan.
“Polis akan terus menjalankan pemantauan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang boleh menimbulkan keresahan awam atau dianggap tidak menghormati simbol negara serta negeri,” katanya.
Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 47 saat di media sosial yang memaparkan bendera Johor dipasang secara terbalik sebelum dibetulkan semula.
Pada minggu lalu, polis turut membuka kertas siasatan susulan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah klinik pergigian di Pusat Perdagangan Pontian yang turut tular di media sosial.