Negara Islam perlu terus lantang sehingga keamanan ditegakkan di Palestin

Iklan
Mohamad ketika Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi pada Isnin.

SHAH ALAM - Malaysia merayu negara-negara Islam untuk terus lantang bersuara sehingga keamanan dan keadilan dapat ditegakkan di bumi Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penjajahan rejim Zionis di Gaza ketika ini adalah satu penghinaan terhadap segala usaha diplomatik yang dilakukan, demi mencapai niat Israel untuk menduduki tanah Palestin secara haram dan kekal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Israel masih merasa yakin dan bangga membunuh serta membiarkan orang awam kebuluran di Gaza kerana mendapat sokongan sekutu yang melabelkan tindakan sedemikian kononnya sebagai “pertahanan diri”.

“Satu pengajaran jelas daripada keganasan yang berlaku sejak 80 tahun lalu ialah ia mungkin bermula dengan Palestin, tetapi sudah pasti tidak akan berakhir dengan Palestin.

Iklan

“Justeru, saya ingin tekankan bahawa segala kejadian yang berlaku di dunia ini akan dipertanggungjawabkan suatu hari nanti, namun masih ada masa untuk menyelamatkan saudara kita yang sedang menderita di Palestin.

“Suatu hari nanti apabila wujud negara Palestin yang merdeka dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota, kita akan tahu bahawa umat Islam di seluruh dunia sudah menjadikan ia satu kenyataan,“ katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi pada Isnin.

Mesyuarat tergempar OIC itu diadakan susulan ancaman terbaharu Israel untuk mengambil alih sepenuhnya Semenanjung Gaza secara paksa, selain meneruskan agenda peluasan wilayah “Greater Israel” yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

Mohamad memaklumkan, pelbagai negara cuba menjadi perantara selama dua tahun, namun usaha mencapai penyelesaian aman atau sekurang-kurangnya gencatan senjata digagalkan akibat keengganan mutlak Israel untuk bekerjasama.

Tambahnya, Israel tetap tidak peduli terhadap permintaan untuk tidak mencederakan orang awam, membenarkan penduduk berpindah ke kawasan selamat, malah mengizinkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Palestin.

“Kita minta mereka tidak mencederakan orang awam, tetapi mereka mengebom kawasan perumahan, sekolah dan hospital.

“Kita minta mereka membenarkan penduduk berpindah ke kawasan selamat, tetapi mereka mengebom kawasan pemindahan.

“Kita minta mereka benarkan bantuan kemanusiaan masuk, tetapi mereka menyerang pihak yang membawa bekalan sehingga seluruh Gaza kebuluran,“ ujarnya.

Mohamad menambah, Malaysia, seperti negara dan masyarakat antarabangsa lain, telah melakukan segala yang termampu untuk meringankan penderitaan rakyat Palestin melalui Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) termasuk saluran lain.

“Namun, persoalan yang perlu dibangkitkan ketika ini ialah sama ada masih ramai atau tidak yang mampu membantu ketika Israel sentiasa menghalang.

“Israel jelas menunjukkan mereka tidak akan bekerjasama dan berhenti. Kekejaman rejim Zionis selama dua tahun kebelakangan ini hanyalah permulaan,“ katanya.