Dua beradik lemas: Kerajaan Perak arah JKKP siasat tapak pembinaan

Iklan
Sivanesan (tengah) ketika merasmikan Kempen Kesihatan Awam Memfokuskan Kepada Kesihatan Musculoskeletal anjuran QIU di Pasar raya Besar Mydin, pada Sabtu.

IPOH - Kerajaan Perak mengarahkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyediakan laporan siasatan berhubung kematian dua kanak-kanak di kolam tadahan sebuah tapak pembinaan berhampiran Taman Chemor Ria di sini, baru-baru ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, laporan itu akan menentukan tindakan lanjut yang boleh diambil.

Iklan
Iklan

“Saya akan minta JKKP memantau dengan turun ke lokasi dan menyediakan laporan.

“Mereka akan meneliti di mana kesalahan berlaku. Tetapi difahamkan memang tiada papan tanda amaran di sana, dan itu adalah satu kesalahan,” katanya kepada pemberita.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Kesihatan Awam Memfokuskan Kepada Kesihatan Muskuloskeletal anjuran Universiti Antarabangsa Quest (QIU) di Pasar Raya Besar Mydin di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha; Naib Canselor QIU, Prof Zita Mohd Fahmi; dan Dekan Fakulti Farmasi QIU, Prof Datuk Dr Allan Mathews.

Iklan

Sementara itu, Sivanesan turut menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau anak-anak bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Menurutnya, tapak pembinaan itu memang diketahui wujud di kawasan berkenaan namun tetap meragut nyawa dua kanak-kanak terbabit.

Beliau menjelaskan, walau bagaimanapun ibu bapa mangsa mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang sivil.

Pada Khamis, media melaporkan dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan sembilan tahun ditemui lemas dalam sebuah kolam tadahan di kawasan tapak pembinaan di Lebuh Perindustrian Sin Yong Seng, Taman Chemor Ria pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kedua-dua mangsa yang merupakan adik-beradik ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kolam berkenaan kira-kira jam 8.30 malam.

Menurutnya, kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.39 malam hari sama.