184 mesin pengimbas diserah kepada AKPS perkukuh kawalan sempadan - KP JKDM

Iklan
Anis Rizana

SHAH ALAM – Sebanyak 184 unit mesin pengimbas kargo dan bagasi milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di pintu masuk utama negara akan diserahkan secara berperingkat kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memperkukuh kawalan sempadan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, daripada jumlah tersebut, 132 unit mesin pengimbas telah dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Iklan
Iklan

Menurut beliau, selaras dengan penubuhan AKPS pada tahun 2024, semua mesin pengimbas akan dipindahkan secara berfasa kepada agensi tersebut bagi memperkukuh kawalan sempadan negara.

“Pada masa ini, JKDM masih melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh interim dengan penuh dedikasi sehingga proses penyerahan sepenuhnya kepada AKPS diselesaikan.

Iklan

“JKDM sentiasa memastikan aktiviti penyeludupan dapat dibendung melalui penguatkuasaan undang-undang dan penggunaan teknologi terkini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, penggunaan mesin pengimbas merupakan antara inisiatif JKDM dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan daripada terus berleluasa.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, Anis memaklumkan bahawa JKDM telah memperoleh tambahan 20 ekor anjing pengesan dadah di seluruh negara, yang berjaya membantu membanteras penyeludupan dadah, ketum dan bahan prekursor sebanyak 9,809.03 kilogram.

Beliau turut menjelaskan bahawa JKDM dijangka menerima tiga unit Mobile Backscatter X-ray pada September 2025 sebagai tambahan keupayaan membanteras aktiviti penyeludupan dadah.

“Selain itu, pada Julai lalu, kita telah menerima sebanyak 24 unit kenderaan pacuan empat roda untuk kegunaan anggota operasi penguatkuasaan dalam melaksanakan tugasan di lapangan,” ujarnya.

Tegas beliau, JKDM akan terus mengorak langkah mempertingkatkan kawalan keselamatan di pintu keluar dan masuk negara bagi memastikan keharmonian serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Sehubungan itu, orang ramai digesa agar membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan, khususnya melibatkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain, serta dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.