TANJUNG MALIM - Lima pelajar Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang berdepan detik cemas apabila terperangkap kira-kira satu jam di tengah sungai sebelum diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas berlaku kejadian kepala air di Kampung Sungai Dara di sini pada Khamis.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 6.54 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim dengan bantuan BBP Slim River bergegas ke lokasi.
Menurutnya, sebelum kejadian lima lelaki berusia 21 tahun itu dipercayai sedang bermandi-manda sebelum dihanyutkan arus deras lalu berpaut pada batu bagi menyelamatkan diri.
“Setiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kelima-lima mangsa berada di atas batu di tengah sungai selepas terperangkap akibat kepala air berpunca daripada hujan lebat.
“Operasi menyelamat dilaksanakan menggunakan teknik menyeberang sungai dengan bantuan jaket keselamatan, tali dan beg lontar (throw bag) sebelum mangsa dibawa keluar secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, semua mangsa berjaya diselamatkan kira-kira jam 8.25 malam dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.35 malam dengan kekuatan sembilan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah pacuan empat roda.