KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang berjaya menumpaskan satu rangkaian pengedaran dadah antarabangsa dengan nilai rampasan dadah mencecah RM78.6 juta dalam satu operasi khas pada Rabu.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, dalam operasi tersebut, dua buah kapal telah ditahan aset Maritim yang melakukan rondaan kira-kira 107 batu nautika timur laut Kuantan berhampiran sempadan perairan Pahang dan Terengganu.
Menurutnya, kapal pertama iaitu kapal tangki sepanjang 50.34 meter dikenali sebagai Kamal Bangkok yang didaftarkan di Thailand ditahan pada jam 10.47 pagi ketika berlayar ke arah selatan.
“Kapal itu membawa 13 kru terdiri daripada 10 warga Thailand dan tiga warga Indonesia berusia antara 33 hingga 68 tahun.
“Hasil pemeriksaan menemukan 76 guni mengandungi bahan disyaki syabu dengan anggaran berat keseluruhan 1.572 tan.
"Turut dirampas kira-kira 50,000 liter minyak diesel,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang, di sini pada Khamis.
Mazlan memaklumkan, sebuah lagi kapal kargo sepanjang 39.8 meter dikenali sebagai Sail Fish 09 yang didaftarkan di Indonesia ditahan kira-kira jam 10.50 pagi di lokasi sama.
Jelasnya, kapal itu membawa lima kru warga Indonesia berusia antara 33 hingga 71 tahun.
"Justeru keseluruhan nilai rampasan termasuk dadah, minyak diesel dan dua kapal dianggarkan berjumlah RM83.75 juta.
“Dadah yang dirampas dipercayai boleh digunakan kira-kira sembilan juta penagih,” ujarnya.
Menurutnya, kesemua 18 kru termasuk dua nakhoda akan dipohon reman selama tujuh hari sehingga 19 Februari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1958.
Tambahnya, kapal dan barang kes dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman, Terengganu untuk tindakan lanjut.
“Tangkapan dan rampasan ini merupakan yang terbesar pernah direkodkan Maritim Negeri Pahang sejak penubuhannya,” katanya.