BANTING - Keluarga kepada seorang penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang meninggal dunia ketika menjalani latihan Pusat Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) sedang dalam proses memohon kebenaran bagi membolehkan kubur Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi, 25, yang meninggal dunia pada 13 November tahun lalu digali semula.
Ibunya, Azwati @ Azziaton Muhammed Ghalip, 53, berkata, penggalian semula itu bertujuan melakukan bedah siasat mengenai punca sebenar kematian.
Menurutnya, langkah itu diambil selepas keluarga tidak berpuas hati dengan penjelasan awal mengenai punca kematian anak sulungnya.
"Kalau benar anak saya meninggal dunia kerana strok haba kami reda, tetapi kalau ada unsur buli, penganiayaan atau kecuaian, pastinya kita mahu menuntut keadilan buat arwah,” katanya ketika sidang media di sini pada Khamis.
Menurut Azwati, keputusan untuk memohon penggalian semula dibuat selepas berbincang panjang bersama ahli keluarga serta mendapatkan khidmat guaman.
"Orang awam seperti kami suaranya kecil, jadi perlukan bantuan pihak lain untuk perjuangkan kes ini.
"Harapan saya agar perkara sama tidak berulang kepada pelajar lain yang sertai Palapes,” jelasnya
Azwati mendakwa, sehingga kini pihak keluarga telah membuat tiga laporan polis, namun masih belum menerima sebarang maklumat lanjut.
Azwati memberitahu, Allahyarham anak sulung daripada empat beradik itu sangat rapat dengan keluarga, penyayang serta banyak berkorban menjaga adik-adiknya termasuk seorang yang kurang sihat.
"Arwah selalu tolong saya memasak di dapur, kalau saya ada masalah apa pun, memang dia jadi pendengar setia," jelasnya.
Sementara itu, peguam, Tun Laila Tun Rafiee yang mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Amir mendakwa terdapat beberapa perkara yang perlu diperjelas dalam insiden berkenaan.
Beliau berkata, walaupun Hospital Shah Alam memaklumkan kematian anak guamnya itu berpunca daripada 'heat stroke' sehingga membawa kepada multiorgan failure (kegagalan pelbagai organ), pihak keluarga mendakwa percaya punca sebenar berkait rapat dengan perlakuan seorang jurulatih berpangkat koperal di Pusat Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Udara UiTM Shah Alam.
“Pada 10 November 2024, arwah menghadiri latihan kecergasan di padang kawad UiTM dan mencatat masa luar biasa 13 minit 50 saat untuk larian 2.4 kilometer, sedangkan catatan sebelum ini 17 minit 20 saat, namun keluarga percaya Muhammad Amir dipaksa mencapai masa itu,” katanya.
Menurutnya, selepas larian itu Allahyarham diarahkan melakukan latihan fizikal tambahan sebelum diasingkan dan didenda kerana gagal melakukan tekan tubi.
“Jurulatih terbabit bukan sahaja mendenda arwah, malah menyuruhnya merangkak sambil duduk di atas badannya menyerupai ‘kuda’, kemudian memaksa Muhammad Amir melompat seperti ‘kangaroo’ di tengah padang sambil dirakam serta ditertawakan.
"Tidak lama selepas itu Amir rebah dan tidak dibantu segera,” katanya.
Tun Laila berkata, saksi memaklumkan rakan-rakan Allahyarham terpaksa mengangkat dan mengalihkan mangsa ke tempat redup sebelum Muhammad Amir dihantar ke Hospital Shah Alam.
"Kita juga terima laporan Muhammad Amir turut dipijak di bahagian dada sehari sebelum kejadian," jelasnya.
Tambahnya, pihak keluarga sudah membuat tiga laporan polis pada 15 dan 22 November tahun lalu serta pada 10 Julai tahun ini bagi menuntut siasatan telus, namun sehingga kini mereka mendakwa tidak pernah dimaklumkan perkembangan kes.
“Jenazah Muhamad Amir tidak melalui proses bedah siasat sebelum dikebumikan dan keluarga hanya dimaklumkan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
"Malah pada 2 Januari 2025, polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kematian arwah.
"Keluarga mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh kerana yakin kematian arwah bukan sekadar berpunca daripada 'heat stroke' tetapi akibat kecuaian serius ketika latihan," tegasnya.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam masa terdekat bagi memohon penggalian semula kubur Allahyarham Muhammad Amir bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
"Kami juga memohon untuk satu prosiding inkues dijalankan bagi menentukan punca kematian Muhammad Amir secara menyeluruh.
"Anak guam kami tidak berniat untuk menyalahkan mana-mana pihak, hanyalah mencari kebenaran, selain tidak mahu tragedi ini berulang kepada mana-mana pelatih lain," jelas beliau.