NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Rabu mengecam keputusan Jawatankuasa Perancangan Tertinggi Israel yang meluluskan projek 3,400 unit perumahan di kawasan E1, Tebing Barat yang diduduki, lapor Xinhua.
"Penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, adalah satu pelanggaran undang-undang antarabangsa dan bercanggah dengan resolusi PBB.
"Kemajuan projek ini merupakan ancaman besar terhadap penyelesaian dua negara.
"Ia akan memutuskan hubungan antara utara dan selatan Tebing Barat serta membawa kesan serius terhadap kesinambungan wilayah Palestin yang diduduki,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.
Beliau sekali lagi menggesa kerajaan Israel segera menghentikan semua aktiviti penempatan dan mematuhi sepenuhnya kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa, serta bertindak selaras dengan resolusi PBB berkaitan dan pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 Julai 2024, menurut kenyataan itu.
Majlis Perancangan Tertinggi Israel pada Rabu turut meluluskan 3,753 unit perumahan, termasuk 3,401 bagi kelulusan muktamad di kawasan kejiranan E1, Ma’ale Adumim.
Projek itu bertujuan menghubungkan penempatan bagi mewujudkan kesinambungan yang memisahkan Tebing Barat daripada Baitulmuqaddis Timur. - Bernama