Wanita cekik anak saudara hingga maut, pangku mayat atas riba

Iklan
Seorang wanita didakwa mencekik anak saudara lelakinya hingga maut dalam satu kejadian di sebuah taman berhampiran kediamannya di India pada Jumaat.

NEW DELHI – Seorang wanita didakwa mencekik anak saudara lelakinya hingga maut dalam satu kejadian di sebuah taman berhampiran kediamannya di Mukherjee Nagar, utara Delhi pada Jumaat.

Mangsa berusia satu tahun sembilan bulan disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital oleh orang awam yang menyedari kejadian itu.

Iklan
Iklan

Menurut laporan India Today, polis menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1.30 tengah hari berhubung pembunuhan seorang kanak-kanak kecil di taman di kawasan berkenaan.

Pemanggil memaklumkan seorang wanita berusia 30 tahun dikenali sebagai Azra didakwa mencekik kanak-kanak tersebut sebelum orang awam campur tangan menyelamatkan mangsa.

Iklan

Saksi turut mendakwa wanita berkenaan dilihat memegang dan memangku mayat kanak-kanak itu berada di ribanya selepas kejadian berlaku sehingga orang ramai bertindak melepaskan mangsa.

Seorang penduduk tempatan kemudian membawa kanak-kanak itu ke hospital swasta berhampiran, namun doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia ketika tiba.

Iklan

Mangsa dikenali sebagai Hadi, anak kepada Adil dan penduduk Old Seelampur, yang datang bersama ibunya, Uzma, ke rumah keluarga sebelah ibu di Mukherjee Nagar.

Bapa saudara mangsa membuat panggilan kepada polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Polis berkata, suspek ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Memorial Babu Jagjivan Ram untuk pemeriksaan perubatan sebelum ditahan.

Saksi di taman memaklumkan seorang tukang kebun melihat wanita berkenaan didakwa mencekik kanak-kanak itu sebelum menjerit meminta bantuan, menyebabkan orang ramai berkumpul dan melepaskan mangsa dari riba suspek.

Mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat, manakala polis membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian.

Pegawai kanan polis memaklumkan setakat ini motif kejadian masih belum jelas, namun keluarga suspek mendakwa wanita itu mengalami masalah psikologi.

Polis turut meminta ahli keluarga menyerahkan dokumen perubatan suspek bagi membantu siasatan, selain memaklumkan wanita berkenaan akan disoal siasat selepas disahkan sihat untuk memberi keterangan, sementara siasatan lanjut masih dijalankan.