NEW DELHI – Seorang wanita berusia 30 tahun dibunuh dan ditanam di sebuah tanah perkuburan di Delhi oleh suaminya kerana mangsa disyaki berlaku curang, dalam satu kes pembunuhan yang digambarkan menyerupai plot filem Bollywood terkenal, Drishyam.
Rancangan suspek untuk 'menyamarkan' kematian isterinya sebagai lari bersama kekasih akhirnya terbongkar selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendedahkan kebenaran.
Polis Delhi menahan suspek yang juga merupakan seorang pelukis berusia 47 tahun, Shadab Ali, yang berasal dari Amroha, Uttar Pradesh, selepas disyaki membunuh isterinya, Fatima, di kawasan Mehrauli.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Selatan, Ankit Chauhan, hasil siasatan mendapati tertuduh memberi Fatima racun perosak serta pil khayal secara berterusan selama lima hari sebelum kematiannya.
Dengan bantuan tiga rakannya Shahrukh Khan, Tanveer, dan seorang lagi yang masih diburu Shadab membawa mayat Fatima menggunakan kereta ke tanah perkuburan Mehrauli pada malam 2 Ogos lalu.
Mayat mangsa ditanam manakala pakaiannya dibuang ke dalam terusan, kata Chauhan.
Bagi mengaburi pihak berkuasa, Shadab pulang ke kampung halamannya di Amroha dan menghantar mesej menggunakan telefon Fatima seolah-olah isterinya telah melarikan diri serta mahu berkahwin dengan lelaki lain.
Kes ini terbongkar selepas seorang rakan Fatima membuat laporan orang hilang di Balai Polis Mehrauli pada 10 Ogos.
Beliau percaya mangsa diculik. Hasil semakan CCTV mendapati Fatima bersama suaminya dan beberapa individu lain, malah kelihatan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Shadab pada mulanya menafikan pembunuhan tersebut dengan mendakwa mayat isterinya dibuang ke terusan, namun akhirnya mengaku bahawa dia merancang pembunuhan berkenaan kerana mempercayai Fatima mempunyai hubungan sulit.
Siasatan lanjut mendapati Shadab membawa mangsa ke sebuah rumah di Fatehpur Beri, lokasi tempatnya bekerja dalam projek pembinaan.
Di sana, Fatima dipaksa menelan racun perosak walaupun mengalami kesakitan, malah sempat dibawa ke seorang pembantu perubatan sebelum dipulangkan semula ke rumah mereka di Mehrauli. Fatima disahkan meninggal dunia pada 1 Ogos.
Pada keesokan malamnya, Shadab bersama Shahrukh dan Tanveer menanam mayat isterinya di tanah perkuburan.
Polis Delhi kemudian menggali semula kubur Fatima pada 15 Ogos di hadapan majistret subdivisyen. Shadab, Shahrukh dan Tanveer telah ditahan manakala seorang lagi suspek masih diburu.
Pihak polis turut merampas kenderaan yang digunakan untuk mengangkut mayat mangsa.-Agensi