SHAH ALAM – Taktik licik sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menggunakan bungkusan isi durian kering melibatkan rampasan dadah bernilai RM13.6 juta tumpas dalam beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang pada Isnin.
Serbuan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu turut membongkar sebuah rumah teres yang dijadikan stor penyimpanan dadah jenis syabu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi bermula jam 11 pagi hingga 1 tengah hari itu melibatkan empat serbuan serentak serta menahan lima lelaki tempatan berusia antara 33 hingga 64 tahun.
"Dalam serbuan pertama di kawasan parkir Bandar Puchong, seorang lelaki ditahan dan polis menemui syabu seberat 103.8 kilogram.
"Serbuan kedua di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) membawa kepada penahanan suspek kedua, manakala pemeriksaan di rumahnya menemukan 37 gram syabu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Rabu.
Katanya, serbuan ketiga dilakukan di sebuah restoran di Bandar Puchong Jaya, membawa kepada penahanan dua lagi suspek.
"Pemeriksaan lanjut di rumah teres di sekitar Bandar Puchong Jaya menemukan 321 kilogram syabu.
"Manakala serbuan keempat di kawasan parkir LRT Sri Petaling berjaya menahan suspek kelima," katanya.
Menurutnya, bekalan dadah dipercayai diperoleh dari negara jiran ini seberat 425 kilogram syabu yang mampu merosakkan 2.1 juta penagih.
"Siasatan mendapati suspek pertama dan kedua bertindak sebagai pengangkut, suspek keempat penjaga stor, manakala suspek kelima iaitu warga emas berusia 64 tahun adalah dalang sindiket.
"Kumpulan ini dipercayai aktif sejak Jun 2025 dengan menggunakan rumah teres sebagai stor penyimpanan sebelum mengedarkannya ke pasaran tempatan," katanya.
Tambahnya siasatan lanjut mendapati kumpulan itu mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket antarabangsa dan dipercayai turut mengedar ke Sabah, Sarawak serta berpotensi dipasarkan ke Kalimantan.
"Ketua kumpulan yang ditahan bertindak sebagai koordinator, namun polis percaya masih ada individu lain di peringkat lebih atas yang kini sedang diburu.
"Turut disita aset bernilai RM133,000 melibatkan tiga kenderaan, dua jam tangan, lima rantai leher, satu rantai tangan, sebentuk cincin dan wang tunai RM3,950 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya.
Hussein berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk dadah dan sitaan aset bernilai RM13.74 juta.
"Semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod jenayah lampau termasuk tiga individu yang pernah ditahan sebelum ini.
"Kesemua suspek diberkas tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.