MELAKA - Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan hukuman denda RM1,500 terhadap seorang pengawal keselamatan yang mengaku mencuri susu tepung dan beberapa barangan lain di sebuah pusat beli-belah tiga minggu lalu.
Hakim, DJP Suria Kumar menggantikan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Ayer Keroh terhadap Mohamad Ghazali Maidin, 47, dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun.
Beliau memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding semakan jenayah, pada Khamis minggu lalu.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, mahkamah memerintahkan Mohamad Ghazali selaku responden dibebaskan dengan bon berkenaan mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah dengan seorang penjamin bermula 5 Februari tanpa cagaran.
Wang denda yang telah dibayar akan dikembalikan kepada tertuduh.
Pihak pendakwaan selaku pemohon, dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik dan Syauqi Mardia Baharudin.
Responden pula diwakili peguam, Amritpal Singh, Francis Augustine Soosay, Sharveen Letchumanan dan Goh Han Koon dengan kerjasama empat peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Sementara itu, berdasarkan kenyataan media, Han Koon menghujahkan, mahkamah perlu mempertimbangkan semula hukuman tersebut berdasarkan prinsip undang-undang mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Katanya, mahkamah mempunyai kuasa untuk melepaskan pesalah dengan bon berkelakuan baik, tanpa perlu menjatuhkan hukuman penjara atau denda yang berat.
Beliau berkata, berdasarkan prinsip hukuman 'reformatif' turut merujuk bahawa hukuman harus bertujuan memulihkan pesalah, bukan menghukum semata-mata, terutamanya bagi mereka yang terdesak.
"Bon yang diberi bukan bermaksud bebas tanpa syarat, sebaliknya peluang kedua yang bersyarat buat tertuduh," kata peguam.
Sementara itu, Amritpal berkata, faktor anak guam merupakan pesalah pertama yang tiada rekod jenayah lampau wajar diambil kira.
Beliau juga menekankan, tertuduh telah direman selama tiga hari yang mana satu hari sahaja sudah cukup menjadi pengajaran.
"Barang kes antaranya susu tepung, telah dikembalikan kepada pasar raya terbabit malah dia memberi kerjasama di sepanjang siasatan dijalankan," kata peguam.
Pada 27 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan, bapa kepada empat anak terbabit didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan mencuri satu pencuci pakaian dan masing-masing dua susu tepung serta syampu, dengan nilai keseluruhan RM131.50 milik sebuah pasar raya, jam 10.30 pagi pada 21 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.